Bismillahirrahmanirrahim...
Seandainya diletakkan Al - Quran di atas gunung, nescaya hancur dan pecahlah gunung tersebut kerana tidak mampu menanggung tanggungjawab tersebut. Lalu diturunkanlah Al - Quran itu kepada manusia, kerana Allah tahu fitrahnya manusia itu bisa saja memikul beban tanggungjawab dari Allah azawajalla.
Pengalaman yang mahu dikongsi mungkin agak personal, tapi rasanya tidak mengapa demi kemaslahatan semua. Tanpa disedari, dalam kehidupan seharian kita, kita sering diuji dengan ujian yang polanya hampir sama. Dulunya masalah persahabatan, kini masalah persaudaraan, nanti masalah rumah tangga, dan sebagainya. Semuanya berkisarkan masalah perhubungan dengan manusia. Ada kalanya kita sepertinya sudah tahu dan membayangkan apakah masalah yang akan timbul nanti. Inilah corak hidup kita sehari - hari, diuj Allah dengan hamparan ujian dan dugaan demi mengangkat darjat dan martabat kita sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dan ingat, perjuangannya bukanlah mudah, banyak percaturan dan pertaruhan yang haris dibuat.
Ada sebahagian tokoh - tokoh hebat mengatakan yang kita diuji dengan pola permasalahan yang hampir sama kerana apa?? Kerana kita sebenarnya masih belum keluar dari masalah yang sebelumnya. Mungkin pada pandangan kita enteng, tapi tidak pada pandangan Allah. Allah itu maha halus perhitunganNya. Sebagai contoh, apabila kita berhadapan konflik dengan sahabat kita, ada yang tidak menghiraukannya, bahkan tidak kurang yang langsung tidak mahu menyelesaikannya dengan cara yang terbaik. Sebab itulah Allah kerap kali menguji kita dengan konteks dan isu yang sama.
Ada yang berasa takut sekarang memandangkan diri mereka asyik - asyik diuji dengan pelbagai ledakan permasalahanyang mengganggu gugat prestasi mereka untuk lebih proaktif dan cemerlang. Pokok pangkalnya hati kita. Hati yang bersih akan sentiasa membersihkan diri mereka dari salah tanggapan kepada Allah. Tolong dahului perasaan berbaik sangka kepada Allah dan jangan sekali - kali berputus asa dari rahmat Allah. Pertolongan Allah itu amatlah dekat, sekiranya kita bersabar dan mendekatkan diri kepadaNya.
Yang pastinya, ujian yang menimpa kita itu adalah dalam kemampuan kita sendiri. Allah tidak akan menzalimi kita dengan memberikan ujian yang tidak mampu kita tempuhi dan atasi. Sedangkan insan - insan mulia seperti Nabi Muhammad dan Nabi Ayyub sendiri pun pernah diuji dengan pelbagai ujian yang maha hebat, inikan pula kita yang lemah dan kerdil ini. Jadi, ingatlah Allah menguji kita kerana Allah tahu kita mampu mengatasinya. Janganlah kita bersangka buruk pada Allah dengan berkata Allah sedang menyeksa aku, Allah sedang menghina aku dan sebagainya. Tanggapan yang negatif itu sebenarnya adalah bisikan - bisikan daripada syaitan laknatullah.
Pengalaman ibu telah membuat diri ini terfikir bahawa setiap apa yang aku lalui sebenarnya adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan ibuku. Dari muda beliau telah ditinggalkan suaminya, bersusah membesarkan dua orang puteranya, bertungkus lumus mencari rezeki yang halal, berhadapan dengan kematian arwah abangku, kematian datuk, dan kesusahan - kesusahan yang datangnya dari tanggapan negatif masyarakat terhadap ibuku. Subhanallah, tapi lihatlah.. Sehingga hari ini, ibuku masih lagi teguh tanpa bantuan dan kehadiran suami. Beliau membesarkan aku dengan akidah yang lurus dan akhlak yang mantap. Walaupun digetus getas dengan lautan ujian dan cabaran, beliau tetap kuat dan cekal menghadapinya. Tiada sekali kedengaran kata - kata nista dan jemu darinya.
Akhir sekali, ujian itu mematangkan diri dan mendekatkan diri kita kepada pencipta kita. Dari Allah semua masalah dan ujian itu datang, maka kembalikanlah ia kepada Allah. Jangan diminta dan ditagih dari yang lain melainkan Allah swt. Berdoalah dan bertawakallah kerana Dialah sebaik - baik tempaypt berlindung. Wallahualam.