Ada kalanya sesuatu yang kita tidak suka, itulah yang menjadi ujian ke atas diri kita. Bilamana kita kuat menentang akan sesuatu itu, pastinya diri marhaen ini akan teruji. Tatkala kita mula mengatakan pada orang lain atau mengajak manusia meninggalkan kebatilan itu, semakin kuat kebatilan itu datang kepada kita. Sungguh ujian itu pasti, kerana Allah ingin menguji sejauh manakah thabatnya hati kita ini di jalanNya.
Ya, saya sendiri sering kali melalui fasa yang namanya ujian. Dan apabila dilihat dan dibuat analisa, kebanyakan ujian itu datang apabila saya mula mengetahui kebenarannya. Contohnya, apabila saya sedar yang bercouple itu haram dalam Islam, ditambah dengan konsep dan analoginya yang tidak boleh disangkal lagi, maka semakin kuat pula ujian yan datang menimpa. Bukan itu sahaja, ujian itu datang dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Saya sering berasa tidak sedap hati dan ada kalanya bersedih mengenangkan berat ujian yang diberi oleh Allah. Di saat saya mula mengetahui kebenaran, mengapa semakin berat ujian yang menimpa? Saya mula mempersoalkan dan bertanya dalam hati kecil ini.
Saya bagi contoh yang paling mudah. Buat masa ini, memang nikmat belajar di luar negara ini sangatlah ampuh dan menyeronokkan, ditambah pula dapat mengenali pelbagai lapisan masyarakat dan budaya. Namun, ada satu hal yang membuatkan saya semakin risau. Saya sering diuji dengan keadaan yang susah untuk saya ungkapkan. Contohnya, dokma - dokma yang menjurus ke arah kesesatan yang boleh membawa saya jauh dari Allah. Diasak dengan pelbagai persoaln, dicabar segala pendirian, diganyang dengan kesemua fakta.
Ya, siapa kata belajar di luar negara ini semata - mata keseronokan? Banyak ujian, banyak halangan, banyak juga keperitan yang harus ditanggung.
Teringat saya pesanan Imam Al Ghazali yang memperingatkan kepada semua bahawa kehidupan dunia ini ibarat penjara bagi orang - orang Mukmin dan syurga bagi orang - orang kafir. Orang kafir memang kelihatannya bebas melakukan apa saja yang mereka mahu, menuruti kata nafsu dan kehendak sesuka hati. Tetapi, bagi orang Mukmin, kesakitan inilah yang harus ditempuhi sebelum kembali menghadap Ilahi.
Dalam sebuah buku yang menceritakan perihal biografi Zainab Al Ghazali (Hari - hari Dalam Hidupku), seorang pemimpin jemaah wanita di Mesir, beliau ditangkap dengan beberapa orang pemimpin Ikhwan Muslimin kerana dipercayai berkonspirasi untuk membunuh Presiden pada waktu itu. Saya tersentuh apabila mengetahui betapa seorang wanita yang sangat terkenal dengan keunggulan peribadinya dan ketinggian ilmu akhiratnya, diuji oleh Allah dengan hukuman dan seksaan yang sangat berat. Presiden Mesir pada waktu itu, Jamal Abdul Naser memerintahkan agar beliau diseksa sepertimana seksanya seorang lelaki. Disebat, dicaci, dilempar dalam penjara air, dihamun, hampir dirogol, diletakkan di dalam bilik penuh anjing atau tikus, dan pelbagai lagi seksaan yang maha sakit.

Sungguhpun begitu, Zainab sangat kental mempertahankan tawheednya kepada Allah. Tidak sekali pun beliau mengakui atau menyalahkan Allah dalam memberikan ujian yang sebegitu sakit kepadanya. Dalam setiap rintihannya, kebergantungan sepenuhnya hanya dikembalikan kepada Allah dan bukan pada yang lainnya. Tiada rayuan atau rintihan kepada manusia melainkan Allah.
Semoga Allah merahmati dan memberkati rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan para syuhada yang sentiasa berjuang mempertahankan hakikatnya Allah dalam diri beliau. Owhh terlupa nak cakap, beliau tidak mati sewaktu dalam tahanan rejim. Beliau bebas walaupun teruk diseksa.
Dalam konteks perbincangan kita seperti yang di atas, perlu difahami kefahaman kita akan sesuatu hal pasti didatangkan juga dengan ujian. Ujian dan kefahaman adalah seakan satu pakej yang tidak boleh ditolak atau ditukar. Jika kita yakin dengan kebenaran, pastinya ujian akan datang kepada kita sebagai bukti betapa kita benar - benar ikhlas atau tidak dalam menjalankan yang hak dan meninggalkan yang batil.
InshaAllah, kesakitan dan kepenatan itu akan hilang, tetapi kebaikan yang kita lakukan kekal di sisi Allah. Jika kita melakukan kejahatan dan kedangkalan, ya memang benar datangnya kepuasan dan keseronokan. Tapi jangan lupa, keseronokan dan kepuasan itu akan hilang, dan kejahatan itu kekal di sisi Allah. Semoga Allah jadikan kuat untuk mempertahankan iman dan tawheed dalam hati kita ini. Ambillah apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk.
Love,
firdausfazuan