Monday, 25 March 2013

Syahadatul Haq (Penyaksian yang Benar)

Pada kesempatan yang lepas, diri ini diberi peluang oleh Allah untuk menyertai sebuah program yang sangat baik dan bermanfaat untuk pembinaan Individu Muslim (IM) yang sejati. Program yang bermula dari hari Sabtu sampailah Ahad itu penuh sarat dengan ilmu dan input - input baru yang terlalu banyak membuka perpsektif hidupku selama ini.

Program yang bertajuk Syahadatul Haq itu sungguh spesel, sungguh terkesan hingga ke tulang hitam, sungguh bermakna bagi yang dah lama mengikuti arena bulatan gembira tapi masih bingung untuk berbuat apa. Terasa pulak diri ini bila sebut macam itu. Berkumpulnya ikhwah yang sangat cool dan osem daripada dua uiversiti yang berbeza, bisa saja membawa corak pemikiran yang berlainan tapi masih lagi berpijak pada matlamat yang sama. Itulah indahnya apabila kita berukhwah pada landasan dakwah dan tarbiah.

Berminat?? Apa lagi, ayuhlah kita join gerabak - gerabak yang inshaAllah matlamatnya tetap sama dengan apa yang kita pegang, cumanya ditambah dengan matlamat untuk meletakkan Islam di atas puncak (at the peak) melalui dakwah dan tarbiah.

Syahadatul Haq (SH), adakah ianya sesuatu yang baru?? Adakah ianya bercerita perkara yang bertentangan dengan agama mahupun syariat Islam. Ketahuilah SH inilah yang telah membuka mata ramai dalam kalangan kita untuk bergerak untuk terus thabat dalam dunia dakwah. Ketahuilah SH ini jugalah yang menyebabkan Saidina Umar dan sahabat - sahabat Nabi yang lain sanggup berkorban segalanya untuk melihat Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. Ketahuilah anda SH ini jugalah yang menyebabkan Abu Lahab dan Abu Jahal seram dan takut untuk memeluk Islam. Whaattt?? Ya, semuanya kerana mereka memahami tuntutan di sebalik DUA KALIMAH SYAHADAH itu.

Pada kebiasaannya kita menganggap bilamana kita sudah menyebut dua kalimah syahadah dengan penuh yakin dan percaya, maka tuntutan lain yang perlu kita buat adalah mengerjakan tuntutan - tuntutan lain di dalam  Rukun Islam dan Rukun Iman. Ketahuilah apa yang kita baru katakan tadi adalah salah sama sekali. Apabila kita, ya.. Anda dan saya.. Bila dah mengucap dua kalimah syahadah, maka kita menggalas satu tanggungjawab yang sangat berat, iaitulah PENYAKSIAN.

Bayangkan situasi ini.. Sedang anda berjalan - jalan kaki dari hostel atau rumah anda untuk ke suatu tempat, tiba - tiba anda ternampak sebuah kereta terlanggar seorang kanak - kanak yang menaiki sebuah basikal. Anda nampak insiden tersebut, jelas dan sangat explicit with no further doubts. Adakah anda akan duduk diam tanpa melakukan apa - apa tindakan?? Tidakkah anda rasa mahu ke balai polis membuat laporan atas apa yang anda nampak dengan mata kepala anda sendiri?? Hal yang sama jugaklah boleh dikaitkan dengan konteks Islam. Anda telah bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan anda juga telah bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya.

Anda menjadi saksi.. Ya, saksi kepada sebuah kebenaran yang anda penuh percaya dan yakin akannya berteraskan wahyu dan sunnah.. Tapi, anda masih lagi mampu untuk terus berdiam diri tanpa menyebarkan kepada orang - orang lain. Tidakkah anda rasa anda sudah menjadi sangat kejam dan zalim terhadap agama Allah ini?? Subhanallah...

Jadi, apakah tanggungjawab kita selain hanya solat, puasa, zakat, haji, baca Al - Quran, sedekah, dan mentaati ibu bapa?? Dakwah dan tarbiah.. Itulah tuntutan yang terpenting yang cuba diketengahkan sepanjang program SH itu. Tanggungjawab untuk memperbaiki diri dan mengajak orang lain berbuat baik.

"Dan demikianlah (sebagai mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu." Al - Baqarah 2:143

Di akhirat kelak, Allah pasti mempertanggungjawabkan kepada kita di atas kesalahan hamba - hambaNya yang lain disebabkan sikap kita yang tidak mahu berdakwah dan menyampaikan syahadatul (penyaksian) haq (benar) itu. Sayang sekiranya kita bermati - matian cuba untuk mempertingkatkan amal dan takwa kita tanpa sempat memberi apa - apa sumbangan kepada pembangunan Islam dan syiarnya. Di akhirat kelak, para Rasul akan menjadi saksi di atas apa yang mereka sampaikan kepada umat masing - masing, dan kita semua bertanggngjawab untuk menjadi saksi ke atas siapa yang telah kita bawa di atas jalan dakwah, agar mereka tidak boleh mendakwa kita kelak.

Ada yang bertanya sampai bilakah kita kena berdakwah dan menyampaikan?? Jawapannya mudah iaitu selagi mana kita masih bernyawa dan mampu menggunakan segala keringat dan tenaga kita untuk menyebarkan penyaksian yang benar itu. Tidak perlulah dirisaukan sama ada mad'u (oang yang didakwah) berubah atau tidak kerana pada hakikatnya Allah melihat kepada USAHA dan bukannya HASIL. Contohnya, kita dah habis air liur berdakwah dan mentarbiah seseorang, tapi masih tidak nampak hasil, maka LA TAHZAN, Allah telah melihat usaha anda yang tidak kenal erti jemu itu.

Kita juga perlu menggunakan segala alat yang kita ada untuk mencapai matlamat itu.. Tidak kiralah handphone ke, laptop ke, ipad mini ke, buku - buku ke, nasihat ke, atau pen sekali pun, gunakanlah untuk memberi manfaat kepada Islam. Biar apa saja yang kita ada, kita dedicatekan unutk Islam. Asalkan kita melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin tanpa banyak soal atau kompromi.

Abu Dzar Al - Ghifari, seorang tokoh pemimpin kaum Ghifari telah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk kita. Setelah beliau memeluk Islam dan bersyahadah di hadapan Nabi Muhammad, beliau terus menuju ke Kaabah dan melaungkan sekuat hati akan  keislamannya dan menjadi saksi tuntutan dan tanggungjawabnya. Meskipun beliau dipukul, beliau tetap melakukannya 3 kali sebelum Nabi Muhammad saw menyuruhnya pulang dan menyeru kaumnya memeluk Islam. Naaahhh, lihatlahh duniaaa, betapa hebatnya penyaksian seorang yang hebat ini.

Biarlah kita dipandang hina atau lekel kerana kita mengikut cara dan ajaran Allah, asalkan pada pandangan Allah, darjat kita diangkat dan dimuliakan. InshaAllah.

"Islam itu datang dalam keadaan asing, dan ia akan kekal sebagai asing. Maka beruntunglah orang - orang yang terasing." Hadith Nabi

So, apa lagi yang anda nantikan.. Ayuh, kita perlu mengambil peluang ini dengan sebaiknya. Jangan sampai kita terlambat kerana saat itu, mungkin kita tidak mampu berbuat apa - apa lagi. Ingat, ini adalah tanggungjawab, dan rugilah sekiranya anda tidak berusaha untuk menyampaikannya. Wallahualam..


Wednesday, 20 March 2013

Kefahaman Dalam Agama

Seorang abang, teman, mujahid agama, penyampai, dan
sahabat seperjuangan.


Serasanya baru semalam saat itu datang. Saat di  mana kali pertama bertentang mata dengan seorang insan yang tenaga mudanya dimanfaatkan untuk dakwah dan tarbiah. Setiap kata dan tingkah lakunya semata - mata untuk membawa orang di sekeliling mengenali Allah dan RasulNya. Saat itu terasa teramat manis, saat kali pertama aku mengerti akan tujuan hidupku yang sebenar, saat aku mula membuka mataku untuk melihat masalah - masalah ummah., saat diri bangkit dari sifat futur dan lemah. Sungguh aku rindu saat itu. Aku pasti akan merindui saat mendengar bait - bait ayat Quran yang ditadabur dan dibedah olehnya, di saat aku di bawah pantauan tarbiah olehnya.

Sungguhpun begitu, beliau telah tiada. Diri ini akan menjadi saksi di mahsyar nanti betapa lelaki mujahid setia ini telah terlalu banyak mengorbankan segalanya untuk Islam. Betapa setiap katanya dimanfaatkan untuk mengajak manusia untuk mengenal dakwah dan tarbiah. Dalam kemalangan jalan raya, berada dalam keadaan kritikal, dan akhirnya pergi mengahdap Illahi. Betapa indahnya kronologi kematiannya. Seusai memberi penyampaian Shahadatul Haq, dilanggar oleh sebuah Alphard, lalu menghadapi saat - saat nazak yang amat pedih, dan akhirnya pergi meninggalkan dunia ini, dalam keadaan yang teramat baik sifatnya.

Semalam, sempat berbual panjang dengan seorang akhi yang tidak kurang hebatnya dalam hal ehwal Islam melalui perbualan Facetime yang bertahan hampir satu jam setengah. Perrgghh, berpeluh. Sungguh banyak input - input menarik singgah di minda ini dan sekali  sekala terasa hati ini bagai dibasuh - basuh dan disental dek karatnya jahiliah yang kita hidup di dalamnya. Topik utamanya hanya berkisar tentang pelaksanaan usrah dan keberkesanannya, lalu merebak ke hal - hal yang sangat detail.

"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadaNya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman dalam agama." (HR. Bukhari dan Muslim)

Bayangkan dalam seharian hidup kita, adakah apa yang kita lalui atau orang - orang di sekeliling kita lalui telah mengikut landasan dan syiar Islam?? Bayangkan juga betapa ramainya dalam kalangan kita yang tahu tentang halal dan haram dalam Islam, tetapi tersasar dari landasan yang dikehendakiNya. Mengapakah masih ada sesetengah pihak yang sedia maklum akan sesuatu perkara yang dilarang Allah tapi masih juga melakukannya??

Pertama - tamanya , kita perlu membongkar terlebih dahulu hadith Nabi Muhammad saw yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Perkataan "yufakkihu fiddin" atau "kefahaman dalam agama" itu memainkan peranan yang sangat besar. Ad-din  yang diketengahkan itu seyogianya terdiri daripada 3 komponen utama iaitu AQIDAH, AKHLAK, dan FIQH. Sekiranya kita hanya berfokus kepada satu atau dua domain sahaja, maka kita tidak akan mendapat kefahaman yang dimaksudkan itu. Bilamana menyebut kefahaman agama itu, bukanlah bererti seseorang itu perlu menghafal 30 juzuk Al - Quran atau tidak tidur malam  demi menghabiskan masa beribadah kepada Allah.

Percayalah, orang - orang seperti anda dan saya juga mampu untuk faham agama kita ini. Semua dalam kalangan kita sebenarnya mampu untuk faqeh dalam agama yang kita anuti ini. TAPI, dengan bersyaratlah ya.. Syaratnya mudah sahaja, iaitu belajar dan mentelaah ilmu  tentang Islam itu dengan menggunakan hati dan bukanlah akal semata - mata. Ini bukanlah soalan Calculus atau Organic Chemistry yang boleh ditangkap dan difahami dengan akal sahaja, ini adalah soal agama yang jauh lebih maknawi dari yang lain.

"Ketahuilah, bahawa dalam tubuh manusia itu terdapat mudghah (segumpal daging), jika ia baik maka baik pula seluruh tubuhnya. Jika is rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah olehmu bahawa segumpal daging itu adalah hati. (HR. Bukhari dan Muslim)

Sekiranya kita sekadar mempelajari Islam itu di akal semata, maka amat mustahil sebenarnya untuk kita jadi lebih baik menurut perspektif Islam. Sebagai contoh, kita hanya manghafal ayat - ayat Al - Quran tanpa mahu bergerak untuk mentadabur maknanya. Pembacaan tanpa pemahaman tak ubah seperti seorang lelaki yang sakit diberi sebuah buku perubatan yang mengandungi perskripsi untuk menyembuhkan penyakitnya, lalu buku itu hanya dibaca dan dia berharap penyakitnya itu akan sembuh sendiri. Analogi itu sangat jelas dan tepat sepertimana Al - Quran. Sekiranya kita hanya membaca dan menghafalnya sahaja, maka pahalanya hanya untuk membaca dan menghafalnya sahaja. Adakah semata - mata itu yang kita mahukan???

Selain itu, hidup kita di akhirat sana bukanlah hanya bergantung kepada jumlah amal yang kita lakukan sahaja. Kita akan masuk ke syurga Allah itu dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah. Diceritakan ada seorang lelaki yang meminta kepada Allah untuk masuk ke syurga Allah dengan amalnya yang dirasakan banyak. Tetapi, yang pastinya amalnya itu tidak mencukupi untuk ditimbangtarakan dengan mahalnya harga syurga Allah itu. Point penting di sini bukanlah unutk mengatakan yang segala amal kebaikan kita itu tidak penting, tetapi rahmat Allah itu jauh lagi bernilai dengan amalan kita itu. Amalan kita hanyalah untuk memastikan kita mendapat kasih sayang dari Allah azawajalla.

Mungkin ini hanya permulaan kepada sebuah jalan yang jauh lebih memenatkan. Percayalah, setiap perjalanan menuju Allah itu ada kalanya dirasakan pahit dan payah, tetapi jangan dilupakan bahawasanya nikmat yang akan kita perolehi itu sangat manis dan osemm. Apalah sangat kesakitan dan ujian yang kita hadapi sekarang dengan apa yang akan kita dapat daripada Allah swt iatu REDHANYA. Hiduplah berpandukan Al - Quran dan hadith Nabi Muhammad saw, kerana dengan kedua - duanyalah hati akan tenang dan aman.

Ingat, ancaman Allah bagi orang yang tahu sesuatu, tetapi tidak berusaha untuk mengamalkannya. Biarlah hidup kita ini penuh dengan kebaikan dan ketaatan, kepatuhan dan kebaikan, kerana di sana menunggu sebuah kemuliaan. Jadikanlah butir - butir mutiara akhi Iman sebagai obor perjuangan unutk lebih mengenal Iman dan Islam. Yang masih hidup ini, ayuh lah kita sama - sama berjuang demi kelangsungan kalimah Allah di muka bumi ini. Pemergian akhi Iman, meskipun bukan sesiapa di dunia tatkala hidupnya, telah berjaya menghidupkan banyak hati - hati yang akan membantu agama Allah  ini. Takbir!!!

Friday, 8 March 2013

Niatkan Semuanya kerana Allah

Prejudis dan salah sangka adalah antara perkara yang paling sukar dalam meniti arus perubahan. Semakin kuat rentak hati untuk berubah, makin tinggi pula intensiti dan konsentrasi kedua - duanya. Ada yang thabat dengan mehna itu, namun tak kurang gagal dan berpatah arah menuju ke jalan gelap semula. Subhanallah, andai itu yang mengerumuni jiwa saat ini, sungguh Allah sedang melengkapi diri ini dengan kemuliaan dan ketinggian darjat.

Perkongsian kali ini berfokus kepada permasalahan yang berlaku apabila diri seseorang yang pernah hidup dalam keadaan jahil cuba mencari penyuluh kebenaran, yakni makna kehidupan. Dahulunya, meskipun dibesarkan dalam keluarga Muslim yang baik pegangan dan prinsipnya, namun entah apa kurangnya, tak pernah terasa unutk mencari Tuhan dan kalau melakukan ibadah pun, hanya sekadar buat untuk memenuhi syarat.

Rasa bersalah tidak pernah hinggap apatah lagi untuk cuba memperbaiki diri. Sungguhpun banyak kali diri diketuk peluang untuk menjadi lebih Islamik, namun seakannya ditolak mentah - mentah. Sebut sahaja pertandingan tilawah Al - Quran, penulisan khat, kem Ihya' Ramadhan, dan kuiz agama Islam, semuanya disertai tak lain hanya untuk memperoleh sijil dan nama. Penyesalan yang teramat sangat apabila mula terfikir akan makna sebuah kehidupan ini. Semakin dewasa, semakin banyak pula tujahan yang seakannya memaksa diri mentransformasi diri ke arah satu tujuan iaitu Allah dan rasulNya.

Susah sebenarnya untuk berhijrah. Ya, memang itu bukanlah suatu adegan sepertimana bertukar dari seorang manusia biasa kepada Power Rangers, dan bukan juga seperti seorang budak biasa kepada Boboiboy, superhero kanak - kanak. Perrghhh, dan macam Super Saiya series pula. Tapi itulah hakikatnya, bukan mudah untuk berubah. Sakit, perit, susah, menangis, menyendiri, dipinggir, dijauhi, dipandang pelik. Itulah pakej yang datang bersama suatu perubahan kerana hakikatnya nilai syurga itu mahal dan mewah, hanya layak dibayar oleh orang - orang yang tetap pendiriannya yakni dalam konteks beragama.

Dalam satu liqa perbincangan konferens riang, naqib menyentuh tentang kepentingan niat dalm kehidupan mukmin sejati. Hal ini diperhalusi dengan hadis famous baginda Nabi Muhammad saw iaitu "sesungguhnya diterima amal seseorang itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, maka dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."

Err, saat dah dibacakan semuanya secara penuh, ibarat ada pula geletekan - geletekan yang menyesapi diri ini. Geli.. Pelik dengan diri dan matlamat hidup ini. Manusia akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Kalau kita nak jadi baik kerana Allah maka dapatlah jadi baik dan dapatlah cinta Allah dan rasulNya. Kalau nak kahwin awal, eh, inshaAllah pun boleh demi mendapat ibrah dan kebaikannya. Asalkan niat itu disertai dengan amal perbuatannya sekali. Contohnya, ingin menjadi baik tetapi duduk terperuk tanpa berusaha, maka tiadalah kebaikannya di situ. Kalau betul - betul nak berubah, niatlah dengan yang baik dan bermujahadahlah.

Bermujahadah??? Apakah itu??? Mujahadah ialah bersungguh - sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang suci dan baik dari konteks kaca mata Islam. Andai kata sebelum ini kita cukup liat untuk solat berjemaah di surau atau masjid, maka bermujahadahlah dengan bersungguh - sungguh untuk datang ke surau atau masjid kerana hakikatnya solat jemaah itu adalah sangat dituntut oleh Islam. Baginda Nabi Muhammad sendiri menyatakan keutamaan solat berjemaah itu lebih baik dari solat bersendirian.

Argument seterusnya mungkin agak ektrem tetapi cukup bermakna. Ada yang bertanya tentang bagaimana semua benda yang baik itu boleh dianggap sebagai ibadah dengan mengisbatkannya kerana Allah. Nak belajar contohnya, niat kerana Allah agar nanti mendapat pahala dan ganjaran dari Allah. Dari satu sudut, perkara ini sangat betul. Niatlah apa sahaja yang kita buat semata - mata kerana Allah tetapi bagaimana pula konteks pengimplementasiannya?? Begini caranya..

Contohnya dalam soal bermain bola mewakili rumah sukan atau wakil universiti atau wakil Kampung Pinang Sebatang, eh kenapa tiba - tiba pula ini. Kita bermain bermati - matian untuk menang dan mengharumkan nama institusi yang kita bawakan. Kita berada di position striker dan perlu berlari sejauh mungkin untuk mengejar bola. Kejar punya kejar, gagal. Natijahnya, kaki kita, tangan kita, badan kita kejang seluruhnya. Adakah itu baik untuk kita??? Sama sekali tidak, kerana matlamat beriadah dan bermain itu untuk memperkuatkan badan menjadi lebih sihat. Tetapi kalau dah sampai masuk hospital, mungkin kita perlu menyoal semula diri kita apa tujuan kita bermain sebenarnya.

Sama juga halnya dengan belajar. Kalau belajar punyalah banyak sampai dan nak termuntah, tetapi tak memberi apa - apa kesan kepada amal dan perbuatan kita, maka sekali lagi, tanyakan semula adakah kita benar - benar berusaha untuk menguasai ilmu itu untuk Allah atau sebaliknya. Persoalan - persoalan ynag berbentuk tujahan minda ini sangatlah baik untuk kita raikan dan cari jawapannya kerana itulah tuntutan kalbu kita. Tuntutan kalbu untuk kembali kepada fitrah bertuhan. Waahh, berpeluh dah..

InshaAllah, cukup rasanya apa yang dibincangkan untuk sesi kali ini. Mudah - mudahan segala yang baik itu dapat dicerna dan difahami sejelas - jelasnya kerana hidup di dunia amatlah pendek dan singkat. Sayang sekiranya tidak digunakan seoptimum mungkin. Lebih sadis sekiranya didorong ke arah yang tidak baik. Mudah - mudahan kita sama - sama bergerak menjadi hamgba Allah yang soleh wamusoleh.. Aminn. Assalamualaikum wbt.