Wednesday, 31 July 2013

Eheh.. Ramadan Tahun Ini Sama Macam Tahun Sebelumnya??

Assalamualaikum wbt

***** Monolog Dalaman *****

Termasuk hari ini dah masuk hari ke - 22 saya berpuasa dan merasai kenikmatan berada dalam bulan Ramadhan tahun ini. Dari dulu saya sering kali mendengar dari ustaz ustazah dan kawan - kawan betapa bulan Ramadan ini merupakan suatu madrasah atau pesantren yang mampu mentarbiyah hati kita yang sering kali lalai dalam memprioritikan Allah sebagai yang terutama. Natijah dari madrasah itu adalah perubahan yang signifikan dalam tindakan, pengakuan dan kata - kata seharian kita.

Sungguh hati ini berdetak kencang. Benarkah apa yang mereka katakan?? Mungkinkah setelah hampir sebelas bulan 'ditarbiyah' songsang syaitan laknatullah yang sempat pula berkolaborasi dengan sang nafsu serakah, diadun sebati pula dengan alat - alat penyumbang jahiliah, tiba - tiba bulan Ramadhan berubah menjadi insan mulia ala - ala diva Islamik gitu. Choiii..

Pada mulanya saya tidak percaya itu.. Saya menganggap itu semua poyo dan sekadar suatu ideologi untuk menggesa dan menolak kita. Ya, gesaan untuk membuat saya dan anda berubah. Sehinggalah sesuatu berlaku dalam kira - kira dua hari lepas yang telah sedikit sebanyak mengubah pola berfikir saya tentang bulan Ramadhan kareem yang sedang kita lalui ini. (Apa dan kenapa berlaku tidak akan dinukilkan dalam entri ini. Harap maklum)


***** Fikiran Berkecamuk *****

Setelah 'sesuatu' itu berlaku, ia membuat saya berfikir sejenak dalam kamar sepi tempat saya beradu. Apakah saya hanya ingin melalui bulan ini tanpa mendapat apa - apa pun ibrahnya?? Adakah saya sebenarnya membenarkan apa yang disabdakan baginda Nabi Muhammad yang umat kini banyaknya tidak lain hanya mendapat lapar dan dahaga dalam bulan ini?? Adakah Allah jadikan bulan ini hanya sebagai suatu bulan yang biasa - biasa sahaja?? Atau sebenarnya Allah telah membutakan hati saya dari melihat semua itu dek kerana maksiat masa lalu saya yang hitam??

Astaghfirullah. Andai itu terjadi, alangkah ruginya hidup saya sehingga kini kerana tidak ada penambahbaikan dari hari - hari yang sebelumnya. Sungguh merisaukan memerhatikan kelakuan segelintir masyarakat yang menjadikan siangnya Ramadan sebagai alasan untuk bermalas - malasan dan malamnya Ramadan untuk berehat - rehatan kononnya letih. Letih kerana menyumbat dan mentekedarah semaksima mungkin. Sigh.

Dan sepanjang cuti saya selama hampir 3 bulan ini, saya banyak memerhati a.k.a stalk profile kawan - kawan saya, baik di laman Facebook, Twitter, Instagram, dan yang sama waktu dengannya. Eheh, jangan risau. Saya hanya stalk atas tujuan - tujuan mengumpul maklumat dan idea untuk menulis dan menambah pengetahuan sahaja.


***** Provokasi Beragama *****


Kecoh sungguh video pasangan menunjukkan cara berbuka dengan cara yang mengaibkan agama. Ditambah pula dengan video klip raya dengan menyentuh dan memegang anjing bersama - sama kononnya untuk meraikan perayaan ini tanpa sebarang prejudis serta dikriminasi. Dihidang pula halnya rampasan kuasa di Mesir oleh konco - konco Israel daripada presiden Dr Morsi. Pening membaca komentar dan membara hati melihat semua itu terjadi. Jujurnya, saya juga sedikit tercabar. Namun, tahukah anda yang ada satu perkara yang lebih menghangatkan hati daripada melihat itu semua????

Hati ini lebih hangat dan panasss melihat orang Islam kita sendiri menggunakan KEKERASAN dan KEGANASAN untuk menangani masalah hidup mereka. Hal ini tiada kaitan dengan soal video - video di atas, tetapi sebaliknya realiti masyarakat kita.


Saudara saudari yang saya kasihi kerana Allah sekalian,


Pertamanya, saya yakin dan percaya Islam itu adalah agama yang paling benar dan tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Sebagai umat Islam itu adalah kewajipan kita untuk benar - benar membumikannya dalam kehidupan seharian kita. Islam telah pun dijanjikan oleh Allah kemenangannya dan keizzahannya (kemuliaannya) tidak kiralah walaupun grounding pointnya adalah di perlimbangan atau menjadi hambatan caci maki manusia. Islam pasti akan menang walau dengan cara apa sekalipun.


With no doubt saya sangat yakin itu pasti akan terjadi suatu hari nanti, sama ada dengan atau tanpa kita. Jadi, sekiranya kita memang dah yakin begitu, jadi mengapa harus mencaci maki dan selar - menyelar orang lain semberononya?? Kita tak perlu insecure kerana kemenangan Islam telah pun dijustifikasikan oleh Allah swt.

Keduanya, apa kata kalau kita tanya diri kita semula. Dalam pada kita asyik marah dan mengutuk tindakan mereka yang mengaibkan agama yang tercinta kita ini, sudahkah kita menyantuni mereka dengan akhlak - akhlah yang mahmudah?? Sudahkah kita TUNJUKKAN Islam itu kepada mereka?? Kita ini jaguh bercerita namun corot dan kikir pelaksanaannya. (Referring to myself as well)

Jangan marah sahabat. Saya tidak emosional dan berfikir sewenang - wenangnya. Memang seharusnya kita mengutuk dan marah dengan apa yang mereka buat itu, namun bukan dengan cara memusuhi dan membenci mereka kolektifnya. Takkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Saya cadangkan kita kembali kepada akar umbi Islam itu sendiri. Bagaimana Islam dibawa dan metodologi apakah yang Nabi bawakan sehingga masyhur Islam semerbak dan seantero Tanah Arab.


***** Solusi *****

AKHLAK AL KAREEM. Akhlak yang mulia, itulah jawapannya. Kembalilah kita kepada agama ini dengan erti kata yang sebenar - benarnya. Jangan hanya di mulut, jangan hanya pada pena yang menulis, tetapi juga dalam perlakuan dan pelaksaannya. Sememangnya Nabi sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." HR Ahmad

Saya puji usaha - usaha murni untuk melakukan gerakan untuk menyebarkan kefahaman - kefahaman Islam secara lebih tuntas dan jelas. Saya puji mereka yang menganjurkan program perhimpunan AMAN menentang rampasan kuasa yang berlaku di Mesir. Saya puji mereka yang mengadakan majlis iftar bersama orang - orang bukan Islam. Saya puji mereka yang turut sama hadir memeriahkan suasana program Islamik bersama - sama keluarga dan sahabat. Setidak - tidaknya kesemua langkah di atas membuktikan Islam ini agama yang mendahulukan kedamaian mengatasi pertelingkahan. Sekali lagi saya tegaskan, kita BUAT bukan hanya bercakap.

Walau bagaimanapun, saya lebih puji orang yang berusaha memperbaiki dirinya terlebih dahulu dan mereka mengajak orang - orang lain bersama mereka. Mereka membina ISLAM dalam diri mereka dan menyebarkannya kepada orang di sekeliling mereka. Orang - orang seperti ini bukan hanya baik bahkan juga membaikkan. Orang - orang seperti ini bukan hanya soleh bahkan menyolehkan.

Ehh, tapi apa point Ramadan tadi dengan hal - hal yang di atas?? Ya, saya ditarbiah dengan melihat dan mentadabur masalah ummah. InshaAllah.


***** Disclaimer *****



Tiada langsung niat untuk fire siapa - siapa atau menimbulkan sebarang isu - isu sensitif. Sekadar berkongsi idea dan rasa untuk melihat kita semua kembali kepada Islam sebagai Addeen dan buka sekadar suatu sentimen. Sentimen akan hilang seiring berjalannya masa, tetapi Addeen kekal walau digetus getas halangan dunia. Ambllah keberkatan Ramadan ini untuk membuat anjakan perubahan. Jangan dikenang masa lalu kita yang kelam, majulah dan maralah ke hadapan menuju redha Allah. Semoga kita semua menjadi insan kamil yang tidak hanya menjadi sopan dan baik, malahan juga menjadi insan yang menyopankan dan membaikkan. Wallahu alam.

Wednesday, 24 July 2013

Nuzul Quran: Bukan Sekadar Suatu Cerita

"Wei, esok 17 Ramadhan dah kan?? Ada apa ek esok??"

"Owhh esok cuti.. Kakitangan kerajaan cuti, sekolah cuti. Boleh lah lepak - lepak and borong sakan kat bazar. Huahuahua" 

Tersembur air dari mulut laju - laju. Kepala berpinar - pinar dengar jawapan bernas itu.


Assalamualaikum wbt.

Apa signifikannya esok?? Ya betul esok ialah 17 Ramadhan bermakna esok adalah hari Nuzul Al Quran. Hari yang mana wahyu Allah digunapakai sebagai panduan hidup umat manusia. Hari yang mana bermulalah era kegemilangan dan kemilauan sinar Islami penduduk Makkah dan bangsa Arab. Hari yang mana turunnya Al Quran yang umat Islam dan kita baca pada hari ini. Ehem, kalau bacalah ya.

Tapi yang agak sadis dan mencalar - calarkan hati ialah umat Islam hari ini semakin tidak cakna akan hari bersejarah ini. Hari Nuzul Al Quran tidak lebih dari hanya sebuah lipatan sejarah yang diceritakan dari satu generasi ke generasi berikutnya tanpa penghayatan yang mantap. Kisah itu hanya sekadar suatu halwa telinga yang jika ditanya adakah kita tahu tentangnya, dengan bangganya kita akan menjawab, "dari zaman aku sekolah rendah lagi lah aku dah tahu pasal cerita ni."

Persoalan yang menyusul ialah mana ibrahnya?? Mana pengaplikasiannya?? Mana amalnya?? Allah doesn't want us to only know, but He wants IMPLEMENTATION!!

Adakah kita hanya mendengar. Jika sekiranya kita hanya dengar dan tahu, nyatakan sekarang apa bezanya kita dan kaum Yahudi serta kaum - kaum terdahulu yang Allah laknat kehidupan mereka?? Bukan mereka tidak tahu akan hal yang haq, tetapi mereka tidak mahu menuruti dan mengikutinya. Dan lihatlah bagaimana Allah mengazab mereka dengan azab yang pedih. Nauzubillah.

Baiklah, berbalik kepada topik asal perbincangan tanpa emosi yang membuak - buak. Hehehe.

Banyak berlaku perselisihan dan khilaf antara ulama' dalam hal penurunan Al Quran ini. Dalam kesempatan ini, saya akan berkongsi pandangan yang saya ikuti daripada Professor Madya Dr Ab Rauf, seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kita boleh lihat billboard dan tanda - tanda bilakah turunnya Al Quran daripada beberapa ayat Al Quran itu sendiri.


"Bahkan (yang mereka dustakan itu) ialah Al Quran yang mulia. Yang tersimpan (terpelihara) dalam tempat yang terjaga iaitu Lauh Mahfuz" Al Buruj ayat 21-22

"(Beberapa hari yang ditentukan itu) ialah bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan - penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara haq dan batil)." Al Baqarah ayat 185 

"Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al Quran pada malan yang diberkati. Sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan." Ad Dukhan ayat 3 

Daripada ketiga - tiga ayat di atas, dapatlah dibuat beberapa kesimpulan yang nyata. Pertamanya Al Quran telah diturunkan dalam bulan Ramadhan yang mulia, yang mana siang dan malamnya sarat dengan keberkatan daripadaNya. Keduanya, Al Quran ini datangnya daripada Allah dan tersedia dijaga rapi di tempat yang namanya Lauh Mahfuz, yang kemudiannya diturunkan ke Baitul Izzah (langit dunia) juga secara keseluruhan, sebelum diutuskan kepada Nabi Muhammad saw secara berperingkat - peringkat mengikut peristiwa selama 23 tahun.

Mengikut sirah, setiap tahun dalam bulan Ramadhan ini juga, Nabi Muhammad saw akan mengulang kaji bacaan baginda bersama dengan malaikat Jibril as untuk memastikan kesasihan wahyu Allah itu. Nabi Muhammad saw juga sering bertadarus bersama dengan Jibril sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita pula bagaimana ya?? Sudah juzuk berapakah??


Jadi apakah resolusi yang mampu kita jalankan?? Untuk menjawab soalan ini, saya hadiahkan sepotong ayat Al Quran untuk anda:

"..... dan bacalah Al Quran itu dengan tartil." Al Muzammil ayat 4

Jawapannya mudah sahaja, iaitu kita cuba sedaya upaya kita untuk membaca Al Quran dengan penuh hati - hati dan perlahan - lahan. Jangan gopoh, tidak ada benda yang nak mengejar atau pun dikejar, kecualilah untuk lari sebab nak buka puasa. Hoho.

Menurut pandangan Saidina Ali, TARTIL ialah keadaan di mana kita menjaga dan memelihara hak - hak ayat Al Quran. Dengan erti kata lain, membaca Quran dengan bertajwid dan tahu akan waqaf ibtida' (tempat berhenti yang sepatutnya). Ada juga sebahagian ulama' yang menambah keperluan fasahah dan suara bagi melengkapkan ketartilan pembacaan.




Oleh itu, disarankan kepada kita yang tidak berapa mahir akan seni bacaa Al Quran untuk membeli mushaf atau download apps yang mempunyai HUKUM TAJWID di dalamnya supaya mudah dibuat rujukan. Yang penting, gunakanlah setiap masa yang ada terutamanya dalam bulan Ramadhan ini untuk memperbanyak, memperbaiki, memperelok bacaan Al Quran kita. Biarpun permulaannya gagap dan lampick (lambat pick up), tapi dengan usaha yang jitu akan melajukan kita dalam redhaNya inshaAllah.

Sesungguhnya Allah melihat usaha, bukan hasil. Wallahualam.

Monday, 22 July 2013

Mama: Dari Manakah Kekuatanmu Itu??

Assalamualaikum wbt

Entri kali ini sedikit berbeza dari yang sebelum - sebelumnya kerana entri kali ini adalah suatu dedikasi rasa cinta dan mahabbah dari seorang anak untuk ibunya yang terlalu disayanginya. Memandangkan tidak lama lagi saya dan sahabat - sahabat akan menyambung pelajaran ke luar negara, elok rasanya entri ini dinukilkan sebagai suatu tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan ibu tercinta. Uniknya, tema entri ini bukanlah semata - mata pengorbanan dan kesungguhan, tetapi jauh dari semua ini, bagaimanakah unggulnya personaliti beliau membesarkan saya dan abang tanpa kehadiran suami di sisi.



Mama, itulah panggilan saya untuknya. Hari demi hari tanpa pernah jemu, mama memberikan saya sinar harapan untuk meneruskan kehidupan ini walaupun jalannya penuh mehna dan ujian. Bukan niat saya mahu mendedahkan hal - hal yang bersifat peribadi atau membuka pekung di dada, namun saya percaya bahawa ada kalanya "some stories need to be told because they could inspire others." InshaAllah, sekiranya kita pandai menjaga dan mengambil hati insan ini, nescaya bahagialah penghidupan dunia akhirat kita.

Oppss.. Walau bagaimanapun, entri ini menceritakan cebisan - cebisan kisah kami dan ditulis semula dalam bentuk yang separa profesional dan bukan untuk bersedih - sedihan. Sebaliknya, kembalilah kepada dasarnya iaitu sebagai suatu wahana penghargaan bagi insan hebat ini. InshaAllah.


***** Perjalanan panjang menempuh kepayahan *****


Mama bukanlah insan biasa yang mudah melatah dan merungut akan nasib dirinya. Selepas bersalin anak sulungnya yang diberi nama Muhammad Firdaus bin Abdul Karim, terlalu banyak kesukaran yang mama hadapi dengan penuh tabah dan redha. Bayangkanlah, 5 kali keguguran bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh seorang ibu muda, namun itu bukanlah alasan untuk mama jauh dari rahmat Tuhannya.

Alhamdulillah, setelah bersusah payah keluar masuk ke hospital, membuat check - up hampir setiap hari, ditambah doa dan ikhtiar kepada Allah, dan diadun dengan pengharapan yang tidak pernah kenal erti putus asa, maka lahirlah diri ini dengan nama Muhammad Fazuan bin Abdul Karim. Hospital Taiping itu menjadi saksi bagaimana jerih payah mama dalam melahirkan saya ke muka bumi ini. Sungguh, tidak tergambar betapa sakitnya kepayahan yang ditanggung mama, namun tiada pernah kedengaran rungutan keluar dari mulut insan hebat ini.

Saya selalu berkata kepada diri ini, kenapa mama seteguh dan sekuat ini?? Kesakitan melahirkan anak itu sudah begitu menyakitkan, ditambah pula penderitaan semasa keguguran, tetapi mengapa beliau masih begitu kuat dan tabah. Sekiranya perkara di atas berlaku kepada diri kerdil ini, rasanya tidak mampu untuk ditanggung keperitannya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." Luqman ayat 14


***** Titik - titik hitam mulai sirna *****


Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perkahwinan mama dan abah hanya mampu bertahan selama 14 tahun sahaja. Perkahwinan yang dirancang keluarga ini nyata tidak bertahan lama. Akhirnya, pada usia mama 37 tahun, akhirnya mama kini keseorangan bergelar ibu tunggal dan fokus utamanya adalah untuk membesarkan anak - anak kesayangannya tanpa sekelumit belas mahupun pertolongan terus dari si suami.

Ketika keretakan keluarga kami berlaku, mama selalu mengingatkan kami betapa anak - anak merupakan kekuatan dan keteguhan jiwanya. Segala apa yang mama lakukan adalah sebagai suatu manifestasi cintanya untuk melihat anak - anaknya berjaya di dunia dan di akhirat. Suatu perkara yang saya sendiri tidak pernah lupa ialah kata - katanya yang sungguh diingati sehingga bila - bila walau ke mana saja saya pergi. Mama pernah dan selalu berkata,

"Abang dan adik adalah segala - galanya untuk mama. Bagi mama, mama rela kehilangan kesemua yang mama miliki, tapi mama tak sanggup kehilangan anak - anak mama yang sangat mama sayang. Abang dan adik adalah permata hati mama yang sangat bernilai, dan tidak ada benda di dunia ini yang lebih bernilai. Walau terpaksa kehilangan suami, mama masih boleh bertahan, tetapi mama tidak boleh bertahan tanpa anak - anak kesayangan mama ini."

Kata - kata itu masih terngiang - ngiang di telinga ini setiap masa dan keadaan. Mama terlalu menyayangi kami berdua dan begitu juga kami sayang dan cinta kepada mama. Saya juga sanggup mengetepikan segala kepentingan diri demi membuatkan mama bahagia dan sentiasa tersenyum. Melihatkan betapa komitednya mama dalam membesarkan kami berdua, sungguh kami tidak sanggup untuk melukakan hatinya dengan menambah kelukaan di hatinya.

Dalam keadaan yang amat genting itu, mama sempat bertanya kepada saya dan abang sama ada kami rela dengan perpisahan ini. Lihatlah betapa baiknya hati si ibu, walau kepayahan ditanggungnya namun sama untuk mengabaikan perasaan kami tidak mungkin terjadi. Setelah kami memberi persetujuan berkenaan perpisahan ini, barulah mama mengambil keputusan untuk berpisah dengan abah setelah membuat timbang tara yang rasional. Mengambil kira kesemua faktor.


***** Cemuhan dan kutukan *****


Setelah berpisah dengan abah, mama menerima pelbagai kritikan - kritikan hangat yang sangat mendidih dan menghangatkan hati. Ada yang menggelar, mencemuh, mengutuk, dan mengumpat mama sesedap hati mereka. Tanpa mengetahui apa dan kenapa, mereka semberononya menyelar mama dengan tuduhan yang pelbagai. Benarlah menjadi seorang ibu tunggal ini penuh cabaran dan kesukaran. Namun, saya menjadi semakin pelik. Mama bukannya semakin lemah atau menyerah, bahkan semangatnya lebih berkobar - kobar untuk membesarkan anak - anaknya.

Anak - anaknya diberi pendidikan duniawi dan ukhrawi, didedahkan dengan pelbagai stimulus untuk berfikir, diterapkan dengan nilai - nilai Islami, dan disayangi tanpa sebarang alasan atau sebab. Dari kecil, mama tidak pernah memaksa kami untuk berbuat sesuatu tanpa dia terlebih dahulu menjadi qudwahnya. Sehingga kini, mama menjadi role model yang terbaik yang sentiasa menjadi ikutan kami adik beradik. Contohnya dalam hal solat, mama sering membawa kami bersamanya untuk ke tikar solat agar apa yang kami lihat menjadi ikutan di masa akan datang.

Suatu hal lagi tentang mama ialah mama tidak pernah menggunakan rotan sebagai suatu alat untuk "menjinakkan" kenakalan anak - anaknya. Saya akui, antara saya dan arwah abang, sayalah yang paling banyak kenakalannya sehingga kalau dihitung nilainya, takut sungguh. Fuhh. Tetapi mama tetap sabar dan tabah dalam melentur rebung - rebung yang membesar di hadapan matanya ini. Paling tidak, sekali dalam hidup saya pernah dirotan oleh mama kerana gagal dalam subjek Matematik di tahun 3. Itu pun hanya sekali untuk tujuan mendidik. Selepas itu, memang sentiasa maju ke depanlah keputusan peperiksaan saya.


***** Perpisahan dan keterasingan *****


Bermulalah episod baru kehidupan apabila saya dihantar oleh mama ke MRSM Gerik ketika di tingkatan 1. Sesuatu yang sangat sukar untuk saya fahami mengapa dan kenapa alasan saya dihantar ke situ. Pelbagai tanggapan dan andaian dibuat. Adakah mama tak sayang saya?? Adakah kerana kenakalan saya selama ini, saya dihantar mama ke sini?? Atau apa sebenarnya???

Sungguh pun begitu, mama sangat pandai memujuk hati ini. Mama akan datang hampir setiap minggu bersama makanan dan nasihat - nasihat membina demi memastikan anaknya yang seorang ini terus menempa kejayaan. Alhamdulillah, benarlah seperti mana yang sering didengar, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sekiranya mama tidak memaksa saya untuk ke MRSM Gerik dulu, pasti saya bukanlah siapa saya pada hari ini. Sekiranya mama tidak membawa saya ke MRSM Gerik itu, pastilah saya kini dah menjadi yang bukan - bukan dek kerana bergaul dengan orang - orang yang pelik.

Hari demi hari diteruskan di bumi Gerik itu, sehinggalah suatu hari saya dikejutkan dengan berita kemalangan abang tercinta. Abang dikejarkan ke hospital dan dirawat di ICU kerana mempunyai pendarahan yang teruk di bahagian kepala. Sungguh pada waktu ini, iman kami diuji oleh Allah swt. Tiada keperitan yang benar - benar menggores daripada melihat saudara saya satu - satunya kini terlantar tanpa suara sebarang pergerakan. MashaAllah.

Selang 6 hari selepas itu, kami diberitakan yang abang telah pergi menghadap Ilahi selamanya. Kehilangan yang paling berat yang pernah saya alami sepanjang hidup saya ini. Berita itu disampaikan oleh kaunselor MRSM Gerik dan saya terus dihantar pulang oleh kenderaan maktab. Tatkala jenazah abang sampai di rumah, saya melihat raut wajah mama tetap tenang, sepertinya mama telah redha dengan pemergian anak sulungnya yang terlalu dicintai dan disayangi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar, dari proses memandikan jenazah hinggalah ke persemadian jasad abang.

Selepas itu, hari demi hari terasa sungguh sunyi dan tidak bermaya. Namun, kedua - dua saya dan mama tidak pernah mengeluh akan takdir Allah ini dan menerima semua itu seadanya. Kami sentiasa bermohon agar diberi kekuatan untuk menerima segala ujian dan mengharapkan agar Allah mengampunkan segala kekhilafan kami selama ini. Segala onak duri dan cabaran diharungi kami berdua dengan apa adanya, dan kami bertekad untuk meneruskan kehidupan sesuai yang diinginkan oleh arwah abang.


***** Personaliti mama *****


Mama bukanlah sebarangan ibu yang suka melakukan apa yang diinginnya sesuka hati. Setiap apa yang dibuat difikirkan baik buruknya terlebih dahulu. Tidak pernah ada yang mama lakukan tanpa sebarang alasan yang kukuh dan rasional. Pasti setiap pelan atau ideanya disandarkan kepada sesuatu yang baik dan mendatangkan maslahat kepada semua dalam erti kata membina jiwa individu tersebut. Itulah mama yang saya kenali sepanjang 19 tahun kehidupan ini. Mungkin kerana itu jugalah saya terpengaruh untuk mengambil psikologi sebagai major mengenangkan betapa setiap kata - kata mama sarat nasihat dan pedoman.

Selain itu, saya cukup tabik dengan kesabaran dan ketabahan hati mama. Seboleh mungkin, perkelahian dan perseteruan cuba untuk dielakkan dengan cara apa sekali pun. Mama lebih suka mengambil tindakan berdiam diri sekiranya dihidangkan dengan hal - hal yang tidak disukainya atau argumen yang tidak sepadan dengan ideologinya untuk mengelakkan pergaduhan. Bersangka baik dan membalas keburukan dengan kebaikan sudah menjadi sikap mama daripada zaman mudanya lagi. Hal ini diperakui sendiri oleh teman - teman sekolah atau pejabatnya. Alhamdulillah, Allah memberikan saya seorang ibu yang mulia peribadinya.


***** Dedikasi akhir untuk mama *****


Perpisahan adalah sesuatu yang biasa bagi sesiapa pun. Setiap pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan, sama ada yang sementara ataupun yang kekal. Sesungguhnya mama, adik menjadi saksi di atas segala kebaikan dan kemuliaan hati mama sepanjang membesarkan adik. Bukannya sesuatu yang mudah untuk membesarkan anak - anak tanpa kehadiran seorang suami di sisi. Tapi, mama telah melakukannya bukan hanya dengan sambil lewa, bahkan dengan kecemerlangan yang sangat hebat dan memberangsangkan. Allahuakhbar.

Maafkanlah segala kesalahan dan kekhilafan selama 19 tahun adik membesar di dalam bimbingan mama. Maafkanlah juga sekiranya ada tindakan atau perlakuan yang dibuat tidak seperti yang mama bayangkan, tetapi percayalah semua yang adik buat adalah sebagai suatu bentuk tanda kasih dan cintanya adik untuk mama. Teruskanlah mendidik anakmu ini, kerana sesungguhnya anakmu ini sentiasa dahagakan bimbingan dan pedoman yang diberi olehmu.

Mama, sesungguhnya setiap kejayaan adik adalah kejayaan mama juga. Setiap kali adik menerima sesuatu pengiktirafan atau penghargaan, sebahagian besarnya milik mama. Adik sentiasa berharap agar Allah akan memberikan kita kekuatan untuk terus thabat dalam jalan yang lurus ini dan adik mohon, teruskanlah untuk menasihati adik dan membimbing adik sehinggalah bila - bila pun.

Ya Allah, Engkau berkatilah usia mamaku. Engkau rezekikanlah kepada mamaku rahmat dan maghfirahMu sepanjang usianya dan hidupkanlah dia dengan kebaikan dan ketaatan kepadaMu. Ya Rahman, Engkau kasihilah mamaku dengan memenuhi segala impiannya, terutamanya untuk menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji dan umrah. Engkau sampaikanlah hajatnya untuk melihat aku berjaya menjadi anak yang hebat dunia dan akhirat. Ya Rahim, sempatkanlah aku untuk berbakti kepadanya dan janganlah Engkau ambil nyawa dia atau aku sebelum sempat aku berbakti dan mencurahkan segala kebajikanku untuknya. Allahumma amiin.


p/s: Jika diturut rasa hati, tangan ini sepertinya tidak mahu berhenti - henti menulis kerana sesungguhnya kebaikan mama tidak hanya seperti yang di atas, bahkan lebih banyak. Namun dek kerana keterbatasan waktu dan kemampuan, maka sampai di sini terlebih dahulu. Adik sayang mama selamanya hingga ke syurga. Wallahualam.



Wednesday, 10 July 2013

KILAU : Kefahaman Ibadurrahman (Part 3)

Pernahkah dalam seharian kehidupan kita ini, kita lapangkan sekelumit masa yang ada untuk kita bertanya kepada diri kita, "bagaimanakah hubungan aku dengan Allah pada hari ini??" Pernahkah kita merasakan ketenangan saat lidah kita melantunkan ayat - ayat suci Al Quran Al Kareem nun jauh di dalam lubuk hati kita?? Pernahkah kita bertanya sendiri, "apakah selama aku hidup ini amalan dan ibadatku diterima olehMu ya Allah??"

Kerana topik perbincangan kali ini sebenarnya saya repost memandangkan sebelumnya slot ini digabungkan dengan slot Fikrah Islam Kita dan ada yang memberi cadangan untuk diasingkan supaya mudah untuk dirujuk kembali di kemudin hari. Kali ini kita bercakap dan mempersoalkan tentang TAQARRUB kita dengan Allah swt inshaAllah.

***** Ibadurrahman *****

Slot ini ialah slot yang paling mantap pada pandangan saya. Penyampainya benar - benar berusaha untuk memberi kefahaman yang mantap kepada pendengarnya. Pada asasnya, Ibadurrahman ialah hamba - hamba Tuhan yang Maha Pemurah (the Most Gracious), yang mana kesemua karakternya menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah swt. Hal ini boleh dirujuk di dalam Surah Al Furqan ayat 63-77. 

Sebelum pergi lebih jauh, elok sekiranya kita timbulkan persoalan ini terlebih dahulu. Apakah sebenarnya kebaikan atau manfaat menjadi Ibadurrahman ini?? Apakah signifikannya?? Percayalah, Ibadurrahman ini sebenarnya mempunyai hubungan mantap dan kukuh dengan Allah swt, dan pastinya sebagai insan yang sangat hebat taqarrubnya dengan Allah maka jelaslah manfaat yang mereka perolehi. Antaranya ialah diperkenankan doanya, diingingati oleh penduduk langit dan bumi, dilindungi sentiasa, dan diberi nikmat walau tidak diminta olehnya.

Dalam bulan Ramadha kareem ini, eloklah kita jadikan satu batu loncatan untuk kita sama - sama berusaha untuk menjadi hamba Allah yang baik. Teruja?? Gembira?? Jadi apakah mekanisme untuk mencapai darjat Ibadurrahman?? Walau bagaimanapun, saya hanya akan menghuraikan sebahagian daripada karakter Ibadurrahman ini dek kerana kekangan masa.


1. Berjalan dengan SOPAN dan MERENDAH DIRI

Sopan bukanlah bermakna perlu berjalan tunduk atau memandang ke bawah setiap masa. Merendah diri itu pula bukanlah memencil diri dan jauh daripada masyarakat. Itu fahaman yang salah!! Sopan dan merendah diri ini datang secara pakej yang saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Dari aspek percakapan, perbuatan, atau sifat perlu dilakukan seperti Nabi Muhammad saw.

Sebaik - baik manusia iaitu Rasulullah juga cakapnya tegas, jalannya tegap dan pantas. Bermakna tidak perlulah berjalan sehingga tak nampak tiang depan mata lalu menyondolnya. Ahaks. Janganlah kita sombong dan membangga diri, dan pada pandangan saya, sesombong manusia ialah seorang da'ie yang sombong. Hal ini kerana mereka mengetahui tentang Islam, tetapi mereka bertindak menjadi sangat kasar dan sombong.


2. Kalau ada yang datang mengeluarkan kata - kata yang kesat atau mengutuk, mereka membalasnya dengan PERKATAAN yang BAIK

Bayangkan situasi tatkala kita dalam kelompok kita sahaja. Semuanya baik, semuanya mengikut apa yang kita mahukan. Namun bayangkan sejenak, sekiranya kita sedang menyampaikan sesuatu bahan fikrah atau dakwah, ada insan - insan yang datang kepada kita lalu mengutuk dan mencaci kita yang pelbagai, apa yang akan kita buat?? Pada kebiasaannya, kita akan marah dan membalas kembali caci maki tersebut dengan sesuatu yang lebih teruk lagi. Namun itu bukanlah karakter Ibadurrahman.

Mereka tetap sabar, dan setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka sangat baik dan menenangkan (SALAM). Jika kita tidak mampu berkata sesuatu yang baik, maka apa kata Nabi Muhammad saw, lebih baik untuk kita berdiam diri. Hal ini kerana Nabi tidak mahu kita mengutarakan perkataan - perkataan yang buruk dan menjejaskan maruah.


3. Orang yang menghabiskan malamnya dengan ibadah (QIAMULLAIL)

Mesti kita tertanya - tanya mengapa solat malam ini diletakkan di nombor tiga didahului oleh bersopan santun dan membalas perkataan yang baik?? Jawapannya mudah sahaja, kerana sesungguhnya solat itu hanya melibatkan kita dan Allah swt. Kebaikan itu hanylah untuk diri kita semata - mata. Manakala ciri pertama dan kedua itu pula hubungan kita dengan manusia. Bagi seorang da'ie, karakter ini sangat - sangat diperlukan untuk menyeru manusia lainnya untuk kembali kepada Allah swt.

Dan kita perlu faham konteks ini, dakwah itu perlu dilengkapkan dengan ciri Ibadurrahman yang ketiga ini iaitu solat malam, kerana hanya dengan solat malam, hati seorang da'ie menjadi mantap.

"Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat mengisi jiwa, dan (bacaan Quran) itu lebih berkesan." Al Muzammil ayat 6


4. Orang yang takut dengan AZAB NERAKA

Ini sudah pastinya menjadi suatu kemestian untuk seorang Ibadurrahman. Waimma bukan Ibadurrhaman sekali pun, pasti kita tidak mahu diri kita ini dicampakkan oleh Allah swt ke dalam jurang api neraka yang di dalamnya tersedia bahan bakar dari diri manusia sendiri.

Sebagai suatu bentuk simboliknya, apabila kita selalu berharap agar dijauhkan dari azab neraka, mana mungkin Allah mencampakkan kita ke dalamnya juga. Allah itu Maha Mengetahui dan sama sekali tidak pernah menzalimi hamba - hambaNya. Oleh kerana itu, kita hendaklah selalu berdoa dengan doa yang masyhur agar Allah menjauhkan kita dari azab neraka itu. Doanya ialah:

"Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahannam daripada kami, kerana sesungguhnya azabnya itu membawa kebinasaan yang kekal" Al Furqan ayat 65


5. Menginfakkan harta dan tidak kikir

Segala apa yang kita miliki sekarang, bukan semuanya milik kita. Di dalam harta kita itu, ada hak orang lain yang perlu kita penuhi. Jika sekiranya kita mengabaikan atau mengingkarinya, maka kita adalah manusia yang sangat - sangat kejam kerana tidak mahu berkongsi rahmat Allah dengan manusia lain. Ingatlah, dunia ini seyogianya berada di tangan dan bukan di hati.

Gunakanlah segala nikmat, kekayaan, kebijaksaan, dan apa saja untuk kemaslahatan ummah sejagat. Bagi para du'at di luar sana, infakkanlah harta kita untuk kelangsungan dakwah dan tarbiyah kerana sesungguhnya harta itu mentarbiyah kita untuk berkorban. Lebih banyak kita beri, maka lebih banyak juga yang kita perolehi. Biiznillah (dengan izin Allah).


6. Tidak mempersekutukan Allah


7. Tidak membunuh orang lain kecuali dengan alasan yang HAQ


8. Tidak berzina

Owhh ya, ini hal yang sangat perlu diberi perhatian kerana ada kalanya tanpa kita sedari, zina berlaku dalam diri kita sendiri walau tanpa kita sedari. Di dalam Quran, Allah menyuruh kita JANGAN menghampiri zina. Bermakna setiap jalan atau marhalah untuk sampai ke zina itu perlu dijauhi. Pecahan zina itu sangat banyak daripada sebesar - besar zina hinggalah sekecil - kecil zina. Antaranya ialah zina mata, zina hati, zina tangan, dan zina mulut. Kesemua itu perlu kita elakkan sedaya upaya kita. Ingatlah, syurga itu tinggi nilainya. Maka pengorbanan untuk membayarnya juga sangat tinggi.


9. Sentiasa bertaubat walaupun TIDAK berbuat kesalahan

Pada kebiasaannya kita hanya bertaubat sekiranya kita berdosa, namun lupakah kita yang Nabi Muhammaf itu bertaubat setiap hari tidak kurang dari 100 kali. Dan ada juga pendapat mengatakan 70 kali. Bukankah baginda itu Nabi?? Yang dijanjikan syurga oleh Allah swt, namun masih lagi bertaubat dan kembali dengan penuh kesungguhan kepada Illahnya.

Taubat tidak hanya dengan solat taubat di malam hari. Boleh juga kita lakukan sedekah, selawat, dan memperbanyak amalan nawafil (sunat). Jadi, tidak ada alasan untuk kita malas bertaubat kepada Allah swt. Nauzubillah.


10. Tidak memberi kesaksian PALSU


11. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah

Ibadurrahman sentiasa sibuk dengan taqarrub Ilallah, maka mereka tidak ada masa untuk melakukan perbuatan - perbuatan yang tidak mendatangkan faedah kepada iman dan takwa. Sekiranya kita tahu perkara itu tidak baik atau tidak mendatangkan maslahat kepada diri, maka seeloknya ditinggalkan sahaja. Sebab itu dalam ciri - ciri mukmin cemerlang ada digariskan tentang meninggalkan perbuatan yang tiada manfaat kepada iman dan takwa seseorang.

"Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman. Iaitu yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna." Al Mukminun ayat 1-3


12. Sangat PEKA/AWARE dengan ayat - ayat Allah

Sudah namanya Ibadurrahman, pastilah mereka ini sentiasa ambil cakna akan perintah Allah dan RasulNya melalui Al Quran dan Sunnah. Setiap apa yang mereka dengar tentang ayat - ayat Allah, akn cuba dibumikan setiapnya ke dalam kehidupan seharian mereka. "Kami dengar dan Kami Patuh".


13. Berdoa agar mendapat isteri dan anak yang soleh serta menjadi PEMIMPIN orang - orang yang bertakwa

Ibadurrahman berkehendak akan kebaikan itu bukan untuk dirinya sahaja, bahkan mahukan yang sama untuk orang lain juga. Mereka berharap kepada Allah agar suatu hari nanti, mereka mampu untuk menjadi amir kepada umat Islam yang bertakwa kepada Allah.

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlaah kepada kami pasangan dan cahaya mata yang menjadi penyejuk hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang - orang yang bertakwa." Al Furqan ayat 74


***** Penutup *****

Maaf di atas kekasaran dan kekhilafan sepanjang menulis entri ini. Sesungguhnya, saya sendiri sedang berusaha segigih mungkin untuk mencapa title Ibadurrahman. Untuk kita mencapai matlamat dan karekter di atas, kunci pentingnya ialah KESABARAN. Tekadkan diri dan pasang niat untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Semoga Allah redha dengan apa yang kita perbuat. Wallahualam.

KILAU : Kefahaman Fikrah Islam Kita (Part 2)

Assalamualaikum wbt

Sesuatu amalan atau kepercayaan itu datang apabila kita mempunyai kefahaman dan gesaan untuk melakukannya. Sesungguhnya, sepanjang program KILAU dijalankan, saya tidak diasuh dengan hafalan dan taqlid buta semata. Sebaliknya, para penyampai mempunyai objektif untuk melakukan yang terbaik agar para du'at faham akan bahan penyampaiannya. Jika mereka menyuruh membaca Mathurat, maka isi - isi Mathurat itu dibongkar sedikit demi sedikit agar sampai kepada kami tujuan pembacaannya.

Sesungguhnya, kefahaman itu datang daripada Allah dan kita sebagai hambaNya hanya mampu berusaha dan memohon hidayah Taufik daripada pemilik segala ilmu ini. InshaAllah.

Dalam entri kali ini, akan saya cerakinkan input yang saya peroleh sepanjang program KILAU kepada beberapa pokok perbincangan agar tidak terlalu membebankan pemikiran kita. Eheh, belajar tentang Allah dan RasulNya membebankan?? Rasanya itu tidak mungkin terjadi. Kan??


***** Fikrah Islam Kita *****

Sebelum kita membincangkan persoalan fikrah Islamiah, molek sekiranya kita tanya diri kita terlebih dahulu apakah itu FIKRAH?? Secara skemanya, ramai yang akan menjawab fikrah adalah pola pemikiran atau cara berfikir. Pada dasarnya tidak salah sama sekali, namun ayuh kita jawab dalam konteks yang lebih praktikal dan di bumi. Huhu.

Pada hemat saya melalui bahan perbincangan Fikrah Islam Kita, fikrah ialah sesuatu ilmu yang disimpan bukan sahaja di dalam minda tetapi juga di dalam hati. Melalui hati itulah, fikrah akan membuahkan amal soleh dan takwa. Sekiranya ilmu itu hanya melekat di dalam minda kita semata - mata, maka pengimplementasiannya agak sukar diramal. Sebagai contoh, betapa ramai dalam kalangan kita yang telah mengetahui bahawa Islam mengharamkan rokok dek kerana mudharatnya melebihi manfaatnya. Meski ramai yang mengetahuinya, namun masih ramai juga yang menghisapnya.

Kerana apakah itu berlaku?? Perkara itu berlaku adalah kerana mereka memahaminya dengan minda/otak dan tidak dengan hati. Perlakuan membuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu sebenarnya datang dari hati kita. Kalau kita SUKA dan CINTA pada sesuatu, pasti kita akan cuba sedaya upaya kita untuk melakukannya.

Fikrah ini boleh dianalogikan sebagai air mineral, manakala ilmu pula boleh diibaratkan seperti Sodium Chloride. Sekiranya Sodium Chloride dimasukkan ke dalam cawan kosong, maka kita tidak dapat melihat sebarang reaksi berlaku. Namun, apabila Sodium Chloride itu dicampur dengan air mineral atau air kosong, maka dapat kita lihat reaksi Sodium Chloride itu berpusing dengan pantasnya (vigorously). Ilmu tanpa fikrah Islam, maka tiada sebarang tindakan.

Ilmu + Fikrah = Tindakan/Amal
Dalam skop perbincangan ini juga perlu difahami bahawa Fikrah Islam itu bersifat lengkap dan syumul, tidak boleh dikurangkan atau ditambah sesedap rasa kita, perlu diambil sepenuhnya tanpa mengurangkannya. Salah satu perkara menarik yang saya peroleh ialah kita adalah pengikut Addeen dan bukan Pencipta Addeen. Oleh itu, kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam perlu bersesuaian dengan kita. Uhuk2. Sentap?? Jangan risau, memang itulah tujuan perbincangan ini dikarang.

"Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah - langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu." Al Baqarah 208

Islam itu mencakupi kesemua aspek kehidupan manusia tidak kiralah dari sudut ibadahnya, muamalatnya, munakahatnya, atau jinayatnya. Kesemuanya telah dirangkumkan oleh si Dia yang Maha Mengetahui setiap derap langkah kita, setiap detak jantung kita. Siapa lagi kalau bukan Pemilik jiwa ini iaitu Allah swt. Dalam ayat Quran di atas, Islam itu perlu diambil secara penuh dan bukan juz'i (pilih - pilih).

Contohnya, menganjurkan Konsert Amal untuk tujuan mengutip derma untuk anak - anak yatim. Dan di dalam konsert itu disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan dan mungkin penyanyinya tidak menutup aurat. Bukankah tujuannya baik?? Tapi jangan kita lupa, niat TIDAK menghalalkan cara. Ayuh kita bergerak untuk mencapai kesedaran Islam dan bukan ilmu Islam semata - mata. Kerana orang yang ada kesedaran Islam, lebih cakna dan sensitif terhadap apa jua perkara yang bercanggah dengan Islam.

Cadangan saya, adalah lebih baik kita penuhi masa senggang  kita dengan membaca bahan - bahan fikrah seperti Fiqh Sirah, Iman dan Kehidupan, Manhaj Hidup Muslim, dan yang sewaktu dengannya.

Kita juga perlu faham bahawa fikrah Islam itu bukannya perkara yang kita boleh ungkapkan sahaja, namun ianya patut menjadi sebahagian daripada darah daging kita. Ibarat jigsaw puzzle yang bertaburan, meletakkannya dalam perspektif yang sepatutnya itulah proses pembinaan fikrah Islam kita, manakala puzzles itu pula ialah ilmu yang kita miliki dan perolehi.


***** Penutup *****

Tamadun Turki Uthmaniyah itu tidak terbina dalam masa sehari, namun untuk meranapkan ketamadunan  yang telah dibina dengan jerih payah darah mujahid adalah amat mudah. Begitu jugalah dengan pembentukan fikrah Islam kita, sangat sukar untuk dibina dan diasaskan, namun dengan mudahnya mampu dilunturkan. Oleh itu, semaikanlah fikrah kita itu dengan ilmu yang mantap, dan bajailah ilmu itu dengan bergaul dengan insan - insan yang soleh. Wallahualam.

Monday, 8 July 2013

KILAU dan PUNCAK : Suatu Ibrah (Part 1)

Assalamualaikum wbt


***** dalam mood bersemangat waja *****


Saya baru sahaja selesai menjalani dua buah program yang sungguh membina dan memberangsangkan. Kedua - dua program diisi dengan pelbagai aktiviti dan taujihat yang berbentuk tarbawi. Sangat - sangat fuiyooh. Walaupun kedua - dua program ini mempunyai hadaf dan targeted people yang berbeza, namun background objektifnya mirip di antara satu sama lain iaitu untuk membina jiwa insaniah.

Sekadar ingin menyebut beberapa perkara yang membuka mata saya tentang indahnya ukhuwah fillah sepanjang berada dalam kedua - dua program tersebut. Yang satunya dikenali sebagai Kursus Intensif Lingkaran Amerika Utara (KILAU) dan satu lagi pula dikenali sebagai Pre Departure Untuk Canada dan Amerika KITA (PUNCAK). KILAU ini fokusnya lebih kepada individu yang sudah menyertai dakwah dan tarbiyah, manakala PUNCAK pula memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahui secara lebih terperinci bagaimana kehidupan di Amerika Syarikat.

Saya dan tiga orang sahabat memulakan travelog permusafiran kami pada pagi Isnin dari Stesen KTM Ipoh ke Stesen KL Sentral. Ketika masih di dalam tren menuju ke KTM Subang Jaya, saya menerima sebuah panggilan dari seorang ikhwah bertanya lokasi kami memandangkan dia akan mengambil kami di stesen. Tidak lama selepas itu, kami sampai di stesen dan diambil oleh ikhwah tersebut menuju ke tempat yang dijadualkan akan berlangsungnya KILAU itu. Sesampainya kami di sana, kesemua mereka sedang menunaikan solat Zohor berjemaah dan kami pun turut serta bersama mereka. Alhamdulillah, seusainya solat berjemaah, kami semua duduk - duduk dan mula berkenalan dengan yang lain.

Kira - kira selepas solat Asar, selepas kesemuanya bersedia, barulah kami bertaaruf dan berkenal - kenalan secara lebih dekat dalam sebuah slot. Slot itu sarat dengan aktiviti dan games yang matlamatnya untuk kami semua saling mengenali satu antara yang lain. Tatkala ini saya teringat satu firman Allah dalam Surah Al Hujurat ayat 13

"Wahai manusia, sesunguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku - suku agar kamu saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha teliti."

Mengenali mereka adalah suatu anugerah yang sangat besar untuk diri ini memandangkan mereka semua sangat - sangat supportive dan fit in dengan diri saya. Walaupun ada kalanya mereka mempunyai corak pandang yang berbeza, namun penerimaan mereka terhadap diri ini sangatlah hebat. Meski baru mengenali mereka, hati ini terasa amat dekat dan hampir dengan mereka. Saya sendiri jadi tidak pasti apa sebenarnya yang mengikat hati kami sehingga begitu terasa kedekatannya. Bagi ikhwah atau abang - abang yang sudah lama dalam jalan dakwah dan tarbiyah di Amerika, mereka sepertinya mempunyai suatu aura yang kuat yang membuat kita rasa selesa dan tenang tatkala bersama mereka.

Sejujurnya, pada peringkat awal saya dalam gerakan dakwah dan tarbiyah ini, saya amat pelik dengan reaksi mereka berCIPIKI CIPIKA (cium pipi kiri, cium pipi kanan) setiap kali bertemu. Pada sangkaan saya, kalau baru berkenalan tak mungkinlah mereka akan berbuat begitu. Rupa - rupanya sangkaan saya salah apabila kesemua abang - abang berCIPIKI CIPIKA dengan kami walaupun ini hanyalah pertemuan kami yang pertama, secara nyata!!

Setelah agak lama saya dalam jalan ini, pelbagai daurah dan program yang dihadiri, variasi ujian dan mehna, barulah saya mengerti apa sebenarnya yang mereka buat ini adalah atas dasar keterikatan iman dan dilaksanakan kerana Allah. Sungguh, perasaan itu bukan dibuat - buat dan direka. Sebaliknya terkesan sangat di hati tatkala pipi berlaga pipi dan terasa kasarnya bekas - bekas janggut yang dicukur. Ehem, maaf agak exaggerated di situ. Tapi sesunguhnya, Allah menjadi saksi betapa keakraban kami dalam menongkah arus perdana ini sangat terkesan di hati dan InshaAllah akan membuahkan satu manifestasi ukhuwah yang mantap. Fillah (kerana Allah).

Hari kedua di dalam program KILAU ini menjadi lebih bermakna apabila saya sendiri ditimpa ujian kesakitan, dan sepertinya Allah ingin menguji ukhuwah antara kami semua. Sakit kepala yang sangat sakit, tahap gaban yang melampau. Saya hanya mampu bertahan hingga solat Maghrib berjemaah dan saat ingin bangkit untuk makan di kafe, tidak semena - mena badan ini rebah longlai. Syukurlah ada ikhwah yang sudi membantu. Ada yang tolong papahkan ke belakang surau, ada yang mengambilkan air, ada yang mengambilkan makanan, ada yang tolong urut kepala, dan ada juga yang tolong beri sokongan moral. Ewaah. Tapi itulah halnya yang sehingga bila - bila pun tidak akan saya lupakan.

Selain itu, saya dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri apa yang dimaknakan dengan ITSAR. Itsar ialah perbuatan melebihkan orang lain daripada diri sendiri, walau kita mampu untuk memperoleh kebaikan itu untuk diri kita sendiri. Itsar ini boleh dilihat waktu makan. Semua ikhwah akan makan dalam dulang yang kapasitinya untuk 4-5 orang sedulang. Yang pelik dan ajaibnya, masing - masing cuba untuk bersederhana dalam soal makan. Mereka saling menolak makanan untuk ikhwah lain dan hanya makan sekadar keperluan sahaja. Tidak berlebih - lebihan seperti kebiasaan.

Teringat pula kisah sahabat - sahabat Nabi Muhammad dalam sebuah peperangan. Yang pertama haus dan meminta air, namun apabila terdengar ada sahabatnya yang juga kehausan, maka didahulukan sahabatnya untuk minum air itu. Begitu juga dengan yang kedua, apabila hendak minum terdengar yang ketiga kehausan juga. Lalu diberi kepada yang ketiga, dan saat sahabat kembali pada yang pertama, maka yang pertama telah syahid dan begitulah juga yang kedua. Begitulah agungnya kisah sahabat - sahabat Nabi yang rela mengorbankan kepentingan diri demi sahabat yang dicintai kerana Allah swt. Bagaimana pula dengan kita?? Uhuk.

Sepanjang program KILAU yang berlangsung selama 4 hari 3 malam ini, perkara yang paling agung yang saya lihat dan menjadi saksi ialah Tarbiyah Tadhiyyah (pengorbanan). Mata dan hati ini menjadi saksi melihat bagaimana ikhwah seniors berkorban terlalu banyak untuk semua. Setiap hari ada sahaja perkara yang berlaku yang menuntut mereka untuk berkorban. Infak makanan, infak kenderaan, infak tenaga, infak masa berharga, dan infak duit demi melihat kelangsungan program ini berjalan dengan jayanya.

"Dan termasuklah orang yang apabila mereka menginfakkan harta mereka, mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah secara wajar dan sederhana (antara boros dan kikir)" Al Furqan ayat 67

Bagi insan - insan hebat ini, mereka bersyukur adanya Allah dan Rasulullah dalam hati mereka. Mereka tiada kepentingan lain untuk dituruti melainkan kepentingan Allah swt. Saya melihat dakwah dan tarbiyah ini mengajar erti menggunakan segala resources yang dimiiliki secara optimum dan wajar seperti yang disarankan oleh Al Furqan ayat 67 di atas. Adakah mereka kerugian?? Sesungguhnya tidak sama sekali. Tiada yang rugi dalam menjadi pembantu - pembantu agama Allah.


***** mood sedih *****


Melihat keadaan mereka yang kepenatan dan kelelahan, sungguh membuat hati ini bertanya sendiri. "Mereka sudah banyak berkorban jiwa raga mereka untuk Islam, tapi di mana aku saat ini??" "Mereka ni tak penatkah siang malam berusaha untuk memastikan segalanya berjalan lancar??" Pelbagai monolog bermain di minda saat melihat pengorbanan mereka yang sangat hebat itu.

Seketika, ayuh kita tenggelamkan diri kita dalam diri kita, melihat terus ke dalam jiwa kita. Apa kata kita bertanya kepada diri kita, apakah yang telah kita perbuat untuk mengembalikan Islam ke tempatnya yang agung?? Apa yang telah kita sumbangkan untuk melihat Muratib Amal (tangga - tangga amal) menaik sehingga Islam ascend sebagai Rujukan/Ustaz Alam?? Sebenarnya kita masih terlalu jauh jika dibandingkan dengan mereka. Jauuhhhh saangggaattt!!! Kita yang baru sekejap diuji dengan ujian markah exam turun pun, sudah menyalahkan Allah, kita baru sahaja diuji dengan ujian sahabat kita datang lewat sikit pun, sudah meradang. Jadi, mampukah kita??

Izharnya, sunnatullah perjuangan menuntut mujahid - mujahidnya untuk melakukan pengorbanan. Sekiranya kita ingin berperang, perangilah hati kita terlebih dahulu yang senantiasa hanya mahukan yang senang. Sekiranya kita ingin melihat Islam kembali izzah (mulia), mulakanlah dengan diri kita dahulu. Pembentukan nilai - nilai Islami dan pentarbiyahan hati yang konsisten perlu kita lakukan. Islah lah wahai saudara - saudaraku.


***** mood ending *****


Maaf di atas segala salah dan silap sepanjang entri ini. Mungkin kerana terlalu excited dan masih dalam mode D&T menyebabkan saya jadi seperti ini. Maaf juga kerana belum post apa - apa berkenaan puasa. InshaAllah, point dalam entri ini berkenaan PENGORBANAN dan UKHUWAH boleh kita bumikan dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam konteks Ramadhan kareem. Jom jadikan ramadhan kali ini lebih bermakna dengan pengislahan diri kita ke arah yang lebih Islamik. InshaAllah.