| Seorang abang, teman, mujahid agama, penyampai, dan sahabat seperjuangan. |
Serasanya baru semalam saat itu datang. Saat di mana kali pertama bertentang mata dengan seorang insan yang tenaga mudanya dimanfaatkan untuk dakwah dan tarbiah. Setiap kata dan tingkah lakunya semata - mata untuk membawa orang di sekeliling mengenali Allah dan RasulNya. Saat itu terasa teramat manis, saat kali pertama aku mengerti akan tujuan hidupku yang sebenar, saat aku mula membuka mataku untuk melihat masalah - masalah ummah., saat diri bangkit dari sifat futur dan lemah. Sungguh aku rindu saat itu. Aku pasti akan merindui saat mendengar bait - bait ayat Quran yang ditadabur dan dibedah olehnya, di saat aku di bawah pantauan tarbiah olehnya.
Sungguhpun begitu, beliau telah tiada. Diri ini akan menjadi saksi di mahsyar nanti betapa lelaki mujahid setia ini telah terlalu banyak mengorbankan segalanya untuk Islam. Betapa setiap katanya dimanfaatkan untuk mengajak manusia untuk mengenal dakwah dan tarbiah. Dalam kemalangan jalan raya, berada dalam keadaan kritikal, dan akhirnya pergi mengahdap Illahi. Betapa indahnya kronologi kematiannya. Seusai memberi penyampaian Shahadatul Haq, dilanggar oleh sebuah Alphard, lalu menghadapi saat - saat nazak yang amat pedih, dan akhirnya pergi meninggalkan dunia ini, dalam keadaan yang teramat baik sifatnya.
Semalam, sempat berbual panjang dengan seorang akhi yang tidak kurang hebatnya dalam hal ehwal Islam melalui perbualan Facetime yang bertahan hampir satu jam setengah. Perrgghh, berpeluh. Sungguh banyak input - input menarik singgah di minda ini dan sekali sekala terasa hati ini bagai dibasuh - basuh dan disental dek karatnya jahiliah yang kita hidup di dalamnya. Topik utamanya hanya berkisar tentang pelaksanaan usrah dan keberkesanannya, lalu merebak ke hal - hal yang sangat detail.
"Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadaNya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman dalam agama." (HR. Bukhari dan Muslim)
Bayangkan dalam seharian hidup kita, adakah apa yang kita lalui atau orang - orang di sekeliling kita lalui telah mengikut landasan dan syiar Islam?? Bayangkan juga betapa ramainya dalam kalangan kita yang tahu tentang halal dan haram dalam Islam, tetapi tersasar dari landasan yang dikehendakiNya. Mengapakah masih ada sesetengah pihak yang sedia maklum akan sesuatu perkara yang dilarang Allah tapi masih juga melakukannya??
Pertama - tamanya , kita perlu membongkar terlebih dahulu hadith Nabi Muhammad saw yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Perkataan "yufakkihu fiddin" atau "kefahaman dalam agama" itu memainkan peranan yang sangat besar. Ad-din yang diketengahkan itu seyogianya terdiri daripada 3 komponen utama iaitu AQIDAH, AKHLAK, dan FIQH. Sekiranya kita hanya berfokus kepada satu atau dua domain sahaja, maka kita tidak akan mendapat kefahaman yang dimaksudkan itu. Bilamana menyebut kefahaman agama itu, bukanlah bererti seseorang itu perlu menghafal 30 juzuk Al - Quran atau tidak tidur malam demi menghabiskan masa beribadah kepada Allah.
Percayalah, orang - orang seperti anda dan saya juga mampu untuk faham agama kita ini. Semua dalam kalangan kita sebenarnya mampu untuk faqeh dalam agama yang kita anuti ini. TAPI, dengan bersyaratlah ya.. Syaratnya mudah sahaja, iaitu belajar dan mentelaah ilmu tentang Islam itu dengan menggunakan hati dan bukanlah akal semata - mata. Ini bukanlah soalan Calculus atau Organic Chemistry yang boleh ditangkap dan difahami dengan akal sahaja, ini adalah soal agama yang jauh lebih maknawi dari yang lain.
"Ketahuilah, bahawa dalam tubuh manusia itu terdapat mudghah (segumpal daging), jika ia baik maka baik pula seluruh tubuhnya. Jika is rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah olehmu bahawa segumpal daging itu adalah hati. (HR. Bukhari dan Muslim)
Sekiranya kita sekadar mempelajari Islam itu di akal semata, maka amat mustahil sebenarnya untuk kita jadi lebih baik menurut perspektif Islam. Sebagai contoh, kita hanya manghafal ayat - ayat Al - Quran tanpa mahu bergerak untuk mentadabur maknanya. Pembacaan tanpa pemahaman tak ubah seperti seorang lelaki yang sakit diberi sebuah buku perubatan yang mengandungi perskripsi untuk menyembuhkan penyakitnya, lalu buku itu hanya dibaca dan dia berharap penyakitnya itu akan sembuh sendiri. Analogi itu sangat jelas dan tepat sepertimana Al - Quran. Sekiranya kita hanya membaca dan menghafalnya sahaja, maka pahalanya hanya untuk membaca dan menghafalnya sahaja. Adakah semata - mata itu yang kita mahukan???
Selain itu, hidup kita di akhirat sana bukanlah hanya bergantung kepada jumlah amal yang kita lakukan sahaja. Kita akan masuk ke syurga Allah itu dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah. Diceritakan ada seorang lelaki yang meminta kepada Allah untuk masuk ke syurga Allah dengan amalnya yang dirasakan banyak. Tetapi, yang pastinya amalnya itu tidak mencukupi untuk ditimbangtarakan dengan mahalnya harga syurga Allah itu. Point penting di sini bukanlah unutk mengatakan yang segala amal kebaikan kita itu tidak penting, tetapi rahmat Allah itu jauh lagi bernilai dengan amalan kita itu. Amalan kita hanyalah untuk memastikan kita mendapat kasih sayang dari Allah azawajalla.
Mungkin ini hanya permulaan kepada sebuah jalan yang jauh lebih memenatkan. Percayalah, setiap perjalanan menuju Allah itu ada kalanya dirasakan pahit dan payah, tetapi jangan dilupakan bahawasanya nikmat yang akan kita perolehi itu sangat manis dan osemm. Apalah sangat kesakitan dan ujian yang kita hadapi sekarang dengan apa yang akan kita dapat daripada Allah swt iatu REDHANYA. Hiduplah berpandukan Al - Quran dan hadith Nabi Muhammad saw, kerana dengan kedua - duanyalah hati akan tenang dan aman.
Ingat, ancaman Allah bagi orang yang tahu sesuatu, tetapi tidak berusaha untuk mengamalkannya. Biarlah hidup kita ini penuh dengan kebaikan dan ketaatan, kepatuhan dan kebaikan, kerana di sana menunggu sebuah kemuliaan. Jadikanlah butir - butir mutiara akhi Iman sebagai obor perjuangan unutk lebih mengenal Iman dan Islam. Yang masih hidup ini, ayuh lah kita sama - sama berjuang demi kelangsungan kalimah Allah di muka bumi ini. Pemergian akhi Iman, meskipun bukan sesiapa di dunia tatkala hidupnya, telah berjaya menghidupkan banyak hati - hati yang akan membantu agama Allah ini. Takbir!!!
No comments:
Post a Comment