Prejudis dan salah sangka adalah antara perkara yang paling sukar dalam meniti arus perubahan. Semakin kuat rentak hati untuk berubah, makin tinggi pula intensiti dan konsentrasi kedua - duanya. Ada yang thabat dengan mehna itu, namun tak kurang gagal dan berpatah arah menuju ke jalan gelap semula. Subhanallah, andai itu yang mengerumuni jiwa saat ini, sungguh Allah sedang melengkapi diri ini dengan kemuliaan dan ketinggian darjat.
Perkongsian kali ini berfokus kepada permasalahan yang berlaku apabila diri seseorang yang pernah hidup dalam keadaan jahil cuba mencari penyuluh kebenaran, yakni makna kehidupan. Dahulunya, meskipun dibesarkan dalam keluarga Muslim yang baik pegangan dan prinsipnya, namun entah apa kurangnya, tak pernah terasa unutk mencari Tuhan dan kalau melakukan ibadah pun, hanya sekadar buat untuk memenuhi syarat.
Rasa bersalah tidak pernah hinggap apatah lagi untuk cuba memperbaiki diri. Sungguhpun banyak kali diri diketuk peluang untuk menjadi lebih Islamik, namun seakannya ditolak mentah - mentah. Sebut sahaja pertandingan tilawah Al - Quran, penulisan khat, kem Ihya' Ramadhan, dan kuiz agama Islam, semuanya disertai tak lain hanya untuk memperoleh sijil dan nama. Penyesalan yang teramat sangat apabila mula terfikir akan makna sebuah kehidupan ini. Semakin dewasa, semakin banyak pula tujahan yang seakannya memaksa diri mentransformasi diri ke arah satu tujuan iaitu Allah dan rasulNya.
Susah sebenarnya untuk berhijrah. Ya, memang itu bukanlah suatu adegan sepertimana bertukar dari seorang manusia biasa kepada Power Rangers, dan bukan juga seperti seorang budak biasa kepada Boboiboy, superhero kanak - kanak. Perrghhh, dan macam Super Saiya series pula. Tapi itulah hakikatnya, bukan mudah untuk berubah. Sakit, perit, susah, menangis, menyendiri, dipinggir, dijauhi, dipandang pelik. Itulah pakej yang datang bersama suatu perubahan kerana hakikatnya nilai syurga itu mahal dan mewah, hanya layak dibayar oleh orang - orang yang tetap pendiriannya yakni dalam konteks beragama.
Dalam satu liqa perbincangan konferens riang, naqib menyentuh tentang kepentingan niat dalm kehidupan mukmin sejati. Hal ini diperhalusi dengan hadis famous baginda Nabi Muhammad saw iaitu "sesungguhnya diterima amal seseorang itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, maka dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."
Err, saat dah dibacakan semuanya secara penuh, ibarat ada pula geletekan - geletekan yang menyesapi diri ini. Geli.. Pelik dengan diri dan matlamat hidup ini. Manusia akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Kalau kita nak jadi baik kerana Allah maka dapatlah jadi baik dan dapatlah cinta Allah dan rasulNya. Kalau nak kahwin awal, eh, inshaAllah pun boleh demi mendapat ibrah dan kebaikannya. Asalkan niat itu disertai dengan amal perbuatannya sekali. Contohnya, ingin menjadi baik tetapi duduk terperuk tanpa berusaha, maka tiadalah kebaikannya di situ. Kalau betul - betul nak berubah, niatlah dengan yang baik dan bermujahadahlah.
Bermujahadah??? Apakah itu??? Mujahadah ialah bersungguh - sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang suci dan baik dari konteks kaca mata Islam. Andai kata sebelum ini kita cukup liat untuk solat berjemaah di surau atau masjid, maka bermujahadahlah dengan bersungguh - sungguh untuk datang ke surau atau masjid kerana hakikatnya solat jemaah itu adalah sangat dituntut oleh Islam. Baginda Nabi Muhammad sendiri menyatakan keutamaan solat berjemaah itu lebih baik dari solat bersendirian.
Argument seterusnya mungkin agak ektrem tetapi cukup bermakna. Ada yang bertanya tentang bagaimana semua benda yang baik itu boleh dianggap sebagai ibadah dengan mengisbatkannya kerana Allah. Nak belajar contohnya, niat kerana Allah agar nanti mendapat pahala dan ganjaran dari Allah. Dari satu sudut, perkara ini sangat betul. Niatlah apa sahaja yang kita buat semata - mata kerana Allah tetapi bagaimana pula konteks pengimplementasiannya?? Begini caranya..
Contohnya dalam soal bermain bola mewakili rumah sukan atau wakil universiti atau wakil Kampung Pinang Sebatang, eh kenapa tiba - tiba pula ini. Kita bermain bermati - matian untuk menang dan mengharumkan nama institusi yang kita bawakan. Kita berada di position striker dan perlu berlari sejauh mungkin untuk mengejar bola. Kejar punya kejar, gagal. Natijahnya, kaki kita, tangan kita, badan kita kejang seluruhnya. Adakah itu baik untuk kita??? Sama sekali tidak, kerana matlamat beriadah dan bermain itu untuk memperkuatkan badan menjadi lebih sihat. Tetapi kalau dah sampai masuk hospital, mungkin kita perlu menyoal semula diri kita apa tujuan kita bermain sebenarnya.
Sama juga halnya dengan belajar. Kalau belajar punyalah banyak sampai dan nak termuntah, tetapi tak memberi apa - apa kesan kepada amal dan perbuatan kita, maka sekali lagi, tanyakan semula adakah kita benar - benar berusaha untuk menguasai ilmu itu untuk Allah atau sebaliknya. Persoalan - persoalan ynag berbentuk tujahan minda ini sangatlah baik untuk kita raikan dan cari jawapannya kerana itulah tuntutan kalbu kita. Tuntutan kalbu untuk kembali kepada fitrah bertuhan. Waahh, berpeluh dah..
InshaAllah, cukup rasanya apa yang dibincangkan untuk sesi kali ini. Mudah - mudahan segala yang baik itu dapat dicerna dan difahami sejelas - jelasnya kerana hidup di dunia amatlah pendek dan singkat. Sayang sekiranya tidak digunakan seoptimum mungkin. Lebih sadis sekiranya didorong ke arah yang tidak baik. Mudah - mudahan kita sama - sama bergerak menjadi hamgba Allah yang soleh wamusoleh.. Aminn. Assalamualaikum wbt.
No comments:
Post a Comment