Apa yang akan ditulis pada kali ini adalah lebih bersifat personal dan bukan untuk tujuan ilmiah, melainkan hanya sebagai suatu perkongsian daripada pelbagi lembaran hidup yang berbeza. Saat diri pertama kali menulis entri ini, aku dan seorang sahabat sedang menuju ke kampung halaman kami dengan menaiki tren.
Saat ini aku sedang berhadapan dengan dilema yang menyugulkan perasaan dan menikam sanubariku sebagai seorang insan. Apa yang ada dalam hati aku sekarang ialah perasaan yang tak terungkap dengan kata atau terlihat dengan perbuatan. Kesemuanya menjadi kabur dan samar.
Aku mungkin sedang dilanda sindrom rindu. Ya, rindu kepada suasana dan biah solehah yang aku perolehi di bumi yang sarat jahiliyah bernama INTI International University, Nilai. Apakah ini?? Paradoks atau doktrin perasaan?? Seperti mana falsafah Greek kuno dan metologi Eropah?? Owwhh tidak, sama sekali tidak. Aku akui pada mulanya tempat ini sangatlah menjengkelkan dan terkadang membuat aku berasa muak, namun kini telah aku sedar akan kepentingannya dalam membentuk identiti diriku.
| Sungguh, solat itu adalah suatu kerehatan bagi orang - orang mukmin yang mahu berfikir. |
Antara yang paling tidak dapat dilupakan ialah suasana berjemaah yang dipegang tatkala aku masih di situ. Setiap solatku mulai terjaga dan terpelihara baik dari segi waktunya atau pelaksanaannya. Hampir setiap waktu solat aku akan berada di surau, selain dapat mengutip mutiara - mutiara hikmah seusai solatku.
Maka, pada hari ini aku sedar apa yang pernah disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad saw, "sesungguhnya tangan (bantuan dan kuasa) Allah terletak pada jemaah." Begitu mudah sesuatu urusanku meskipun ditimpa pelbagai ujian dan cabaran.
Setiap kali selepas solat Maghrib, kami para jemaah Melayu khususnya, akan duduk - duduk sambil menambah iman kami sejenak dengan mendengar tazkirah dan taa'lim dari individu - individu yang ingin berkongsi ilmu dan pandangan mereka. Banyak sekali yang aku pelajari mekipun banyak kali juga aku lari dari sesi itu dek kerana kekangan masa. Selepas ini, di mindaku terbayang, mungkinkah dapat aku jalani sesuatu yang serupa itu tatkala aku berada di rumah nannti???
Selain itu juga, di bumi inilah aku berjumpa dengan makna sebenar Ukhuwah Fillah (ukhuwah kerana Allah). Banyak buku - buku seperti Fanzuru (Hilal Asyraf) dan Tautan Hati (FAtimah Syarha) yang mengajar aku erti ukhuwah, namun di sinilah pengukuhannya berlaku. Jazakallah hukhair kepada Akhi Kumayl dan Akhi Ariff kerana mereka yang telah memberi pencerahan yang sebenarnya tentang ukhuwah.
Kini, aku sedar bahawa setiap jiwa yang dibangunkan atas landasan fikrah dan kefahaman yang sama, pastinya akan saling cinta mencintai dan sayang menyayangi antara mereka.
Ini adalah anugerah dan nikmat Allah yang agung di mana bukan semua orang kecapi dan rasai. Dahulunya, aku menyangka ukhuwah akan terjalin bilamana kita kenal seseorang, rapat dengannya, dan cuba sedaya upaya kita untuk memelihara hubungan kita dengannya. Rupa - rupanya aku tersilap. Hakikat sebenar tentang ukhuwah ialah apabila kita berjuang pada landasan dan jalan yang membawa kita kembali kepada Allah. Dalam erti kata lainnya ialah pada jalan Dakwah & Tarbiyah.
Mungkin kerana medan inilah, membawa kepada penyatuan hati - hati kami insan kerdil yang bergerak, berjalan, bersuara pada suatu langkah yang sama dan sekata. Suara AKIDAH!!
YA, akidah yang lurus inilah yang telah menyatukan dan menghidupkan hati - hati kami dan memperhangat ukhuwah yang telah kami bina. Walau ada dalam kalangan kami yang baru sahaja dikenali, baru sahaja ditaarufkan, baru sahaja mengenal makna dakwah dan tarbiyah, namun terasa sungguh kedekatannya. Sangat berbeza bahkan lebih hebat daripada gambaran yang diberikan dalam buku dan novel - novel Islamik. Sesuatu yang dirasai dan dihayati bersama di atas satu landasan fikrah yang sama :- Allah.
Lihat sahaja bagaimana hebatnya ukhuwah yang terbina antara Salman Al - Farisi dan Abu Darda, tatkala Salman ingin berkahwin. Lalu dipersiapkan kesemua kelengkapan perkahwinan seperti yang diinginkannya. Namun, Salman berasa gundah gulana memandangkan dia hanyalah seorang pendatang dari Parsi, dan sekiranya dia sendiri yang pergi meminang, seolah - olah tidak cukup syaratnya. Salman kemudiannya teringatkan Abu Darda, seorang sahabat Ansar, yang telah dipersaudarakan oleh baginda Nabi Muhammad dengannya. Salaman lalu meminta Abu Darda untuk meminang wanita tersebut untuk dirinya. Dengan khabar baiknya, maka Abu Darda terus menuju ke rumah wanita itu lantas meminangnya untuk Salman Al - Farisi.
![]() |
| Buku yang sangat padat informasi cinta dan ukhuwah fillah. |
Wanita itu menjawab pinangan itu dengan berkata, "aku menolak peminangan Salman Al - Farisi, tetapi andai kata orang yang membawa khabar peminangan ini berkehendak, maka akan aku terima." Justeru, Abu Darda yang dipilih oleh wanita itu.
Tetapi, kisah perempuan itu bukanlah pengajarannya. Pengajarannya yang paling besar terletak kepada Salman apabila dia mengetahui yang Abu Darda ialah insan yang diingini oleh wanita tersebut, dia lantas memberikan kesemua peralatan perkahwinannya kepada Abu Darda dan menerima penolakan lamarannya itu dengan baik. Baginya, ukhuwah itu jauh lebih penting daripada kepuasan dirinya sendiri.
Di sinilah juga tempatnya aku berjumpa dengan dua orang kakak yang sangat mengambil berat akan diriku dan menyayangiku seadanya. Mereka sangat prihatin dan sentiasa membantuku tatkala diri ini buntu dan tidak tahu hala tujuku. Seorang kaunselor dan seorang pegawai di bahagian hal ehwal pelajar. Masih aku teringat bagaimana saat aku stress yang teramat sangat, aku mengadu pada yang seorang, lalu dia mengatur temu janjiku dengan yang kaunselor itu untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Sanggup menunggu sehingga sesi selesai untuk memastikan aku dalam keadaan yang tenang dan baik. Kami tidak pernah ada hubungan kekeluargaan, tidak pula berkepentingan apa pun, tetapi kami sentiasa baik antara satu sama lain dan menyayangi antara kami. Alhamdulillah kurniaan Allah yang Maha Hebat.
Tidak lupa juga, di bumi INTI inilah aku mengenal erti perjuangan yang sebenar. Aku faham apa tuntutan dan tujuan aku dihidupkan di muka bumi Allah ini. Aku mulai melihat hidup ini dari sudut pandang yang berbeza, bukan lagi pada pandangan biasa - biasa, tapi pada kaca mata seorang hamba kepada tuannya. Aku hidup, aku bernafas, aku berjalan, aku belajar, aku bermain, aku tidur, kesemua itu membawa aku kepada hadaf (tujuan) ku yang sebenar, dan kefahaman ini membuat aku masih berjalan walaupun langkahnya kecil dan capik, kerana aku yakin perjuangan itu belum selesai.
"Dan tidaklah aku (Allah) jadikan kamu wahai jin dan manusia, melainkan untuk kamu beribadah kepadaku." Ad - Dzariyyat ayat 56
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, Sesungguhnya aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi....." Al - Baqarah ayat 30
Sekarang, aku sedari, tempat ini banyak sekali mengubah aku menjadi apa aku sekarang. Mungkin lebih banyak maslahatnya kini jika dibandingkan dengan diriku yang dulu. Aku berdoa kepada Allah, agar segala kebaikan dan penghijrahan diriku ini diredhaiNya dan dikekalkan aku pada landasan yang benar ini. Semoga perkongsian ini menimbulkan rasa mahabbah kita yang lebih tinggi buat Allah dan junjungan besar Nabi Muhammad saw serta para sahabat - sahabat baginda. Wallahua'lam.

No comments:
Post a Comment