Friday, 24 August 2012

Surat Sahabatku


Air mataku jatuh berderai.. Lagi... Lagi... Melihat dirimu kini telah jauh berbeza.... Seolah-olah kau yang pernah aku kenali dulu telah hilang seiring berlalunya masa. Aku sedih kerana jalan yang kau pilih bukanlah jalan yang meniti di fikiranku, jalan hidup yang kau pilih bukan lagi jalan yang diredhaiNya, teman - teman yang kau gauli entah ke mana hilang akhlak dan peribadinya... sesungguhnya aku sangat risau melihat bagaimana kau dan gaya hidupmu kini yang jauh daripada laluan yang benar. 


Sahabat, apa yang perlu kau tahu adalah aku amat menyayangimu kerana Allah, aku mengasihimu demi tuntutan Islam dan kerja - kerja dakwah... Perlu kau tahu yang dirimu sentiasa ada sahamnya dalam doa kudusku yang kupanjatkan ke hadrat yang Esa.


Apa yang aku nampak kini kau mulai menjauh dari diriku. Mungkinkah kau malu berkawan dan berteman dengan orang sepertiku ini??? Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya. Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya. Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.


Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti. Sahabat, jika benarlah kau mahu berubah, pintu taubat dan pintu untuk kau berubah termatlah luas terbentang. Aku yakin kau akan temui jalan-jalannya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah tidaklah kejam kepada hambaNya.. 


Setiap derap kaki yang kau letakkan untuk mendekati Allah, sebanyak itulah, malahan lebih lagi Allah akan mendekatimu. Setiap pintu yang kau kuak untuk mendalami dalamnya ilmu Allah, seluas itu, malahan lebih lagi ilmu yang akan kau peroleh sahabat... Aku sedar, aku hanyalah insan biasa yang tak punya apa... Aku hanyalah insan biasa yang kadang kala penuh dengan kekotoran dan kehinaan... Namun, demi persahabtan yang amat aku sayangi ini, aku kuatkan azam, aku bulatkan tekad untuk menegurnmu....


Sahabat, andai sahaja kau tahu indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani bayangan mati. Aku pasti. Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti. Bayangan yang kau takutkan seperti bila lah agaknya kau akan mula berteman, bila lah agaknya kau akan bertemu dengan insan pilihan hatimu. Semua itu tidak perlulah kau gusarkan. 


Ajal, maut, rezeki dan persoalan jodoh itu adalah rahsia Allah sahabatku. Tidak guna kita hidup hanya untuk mengejar dunia, tiada untungnya juga kita hidup hanya mencari teman yang belum tentu lagi menjadi pasangan kita yang kekal di dunia dan di akhirat.


Ingatlah sahabtku, sejahat mana pun kau, senakal mana pun tindakan yang kau lakukan padaku. Aku tetap menyayangimu atas nama Allah. Kasih yang terbina atas landasan syiar ini akan terus kekal, insyaAllah. Asalkan saja masih ada rasa bertuhan dan rasa mahabbah kita kepadaNya. Selamanya persahabtan ini akan berkekalan. Aku amat menyayangimu sahabatku.... Uhibbukafillah.... Salam ukhwahfillah....

No comments:

Post a Comment