Tuesday, 25 June 2013

Kami Dengar dan Kami Patuh

"Kami dengar dan kami patuh."

Apa perasaan anda apabila anda memberikan arahan kepada seseorang atau sekumpulan manusia, tetapi mereka langsung tidak mengambil peduli akan kata - kata anda?? Marah? Geram?

Bayangkan pula keadaan di mana anda sebagai guru atau pemimpin, anda sedaya upaya memberi kata dua kepada anak - anak murid atau rakyat, tetapi tiada yang mempedulikqn nasihat anda itu. Langsung tidak mendengar? Ya, langsung tidak mendengar.

Kita mungkin rasa seperti ingin menampar - nampar pipi orang itu dan meminta dia mendengar setiap butir bicara kita dengan penuh perhatian. Namun begitu, sedarkah anda yang kita semua ada kalanya juga berkelakuan sedemikian jelek. Bahkan kejelekan itu dilakukan dengan pemilik segala kekuasaan di bumi dan di langit. Ehh, ya ke?? Benar, dengan Allah!

Betapa dalam setiap detik masa yang berlalu itu ada hikmah dan aturan Ilahi yang anda dan saya nodai. Ada kala telahpun kita tahu akan sebab mengapa tidak boleh dilakukan perkara itu, tetap juga kita langgar perintah Allah itu. Bukankah telah sampai kepada kita mesej dan nasihat secara terus (direct) daripada Allah untuk kita melalui perantaraan Al Quran dan Sunnah baginda Nabi Muhammad saw.

Tapi.. Itu tidak bukan mendengar tapi melihat. Baiklah, begini. Cuba kita ingat betul - betul, dalam setiap hari pasti ada yang memperingati kita untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kebatilan.

Sudah pasti ada bukan? Jiran sebelah rumah, Cik Milah belakang taman, Encik Ali sebelah katil, ceramah agama daripada Ustaz Azhar Idrus, forum dan konferens riang daripada murabbi - murabbi agung, dan macam - macam lagi sumber yang sebenarnya tanpa kita sedar telah memberi isyarat untuk kita berubah, namun berapa ramai dalam kalangan kita yang ambil cakna dengan peringatan itu dan cuba untuk berubah. Sayangnya, Allah telah terlalu banyak memberi kita ruang dan peluang untuk berubah, tetapi kita sendiri yang menolak nasihat itu.

Jadi, apa kaitannya dengan kami taat dan kami patuh?? Mestilah ada kaitan, kalau tidak masakan saya mahu menulis sepanjang ini. Kalau boleh saya mahu membuat suatu permintaan. Saya ingin mengajak anda semua dan diri saya sendiri, untuk kita sama - sama membuat anjakan paradigma menuju ke arah pembaikan diri.

Beri perhatian kepada setiap nasihat dan teguran yang diberikan. Yakinlah, percayalah, setiap apa yang dinasihatkan kepada anda dan saya itu pasti ada hikmahnya. Tidak percaya? Cuba buat perubahan selepas membaca entri ini dan lihat sendiri hasilnya. Hehe.

Kalau anda dan saya banyak mendengar tetapi tidak mahu berubah walaupun sedikit dek kerana kedegilan dan keegoan yang menggunung, apa kata kita imbau kembali kisah Bani Israel yang terlalu banyak mendustakan ayat - ayat Allah. Padahal, mereka itu sangat banyak menerima nasihat dan peringatan daripada perantaraan para Rasul.

Bani Israel mempunyai salasilah Nabi dan Rasul yang paling ramai dalam lembaran sirah yang diutuskan dalam kalangan mereka sendiri. Seriously sangat ramai, namun benar - benar sedikit yang mengambil pelan tindakan berubah dan kembali ke dalam zon Allah. Para nabi dan rasul dalam kalangan Bani Israel tidak pernah berputus asa untuk mengajak umat mereka kembali kepada Allah, namun dek kerana sikap "kami dengar dan tidak mahu mengikut" menyebabkan mereka terus ingkar.

Kesannya, mereka makin angkuh dan bongkak serta pelbagai istidraj diturunkan kepada mereka bertujuan untuk lebih menyesatkan mereka lagi. Nauzubillah.


"Sesungguhnya orang yang mendustakan ayat - ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali - kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu - pintu langit dan mereka tidak pula masuk ke syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang yang berbuat kejahatan." Surah Al A'raaf ayat 40


Apa yang anda fikir setelah membaca ayat "hingga unta masuk ke lubang jarum"? Sebenarnya ayat itu boleh kita samakan dengan "menunggu kucing bertanduk" atau dalam erti orang putihnya perfectly impossible to happen. 

Pastinya kita tidak mahu itu terjadi kepada kita. Yalah, setelah begitu lama berusaha dan bersusah payah melawan mehna ujian di dunia, kita mengimpikan syurga di sana. Sebagai orang Islam yang percaya ada hari pembalasan, pasti kita mahu mendapat imbalan yang baik - baik saja dan sebolehnya tidak mahu azab dan seksa.

Tapi jangan kita lupa... Prinsip "Kami dengar dan kami patuh" perlu menjadi ikutan kita tanpa gagal. Biarlah diuji berat di dunia kerana pandangan kita tembus ke syurga, inshaAllah. Moga Allah redha dengan kita. Wallahu alam.

No comments:

Post a Comment