Semua orang pernah merasai atau paling tidak pun mendengar perihal rasa kehilangan. Kehilangan baik dari segi kematian, perpisahan, atau apa - apa sahaja alasan yang sesuai. Ya, pada kali ini sekadar ingin berkongsi suatu kisah yang mungkin boleh diambil pengajaran darinya.
Ceritanya berkisarkan seorang pemuda yang hidupnya tragik dan penuh dengan suka duka. Hari demi hari yang dilaluinya jarang sekali bertemu dengan yang namanya gembira. Hampir setiap masa, setiap hari yang dilaluinya dirundung rasa sedih dan penuh kekecewaan. Sehingga dia sendiri menganggap adakah dirinya itu pembawa malang.
Kehidupannya sebagai seorang insan baik di rumah, di sekolah, di universiti, atau di pejabat hampir semuanya dia berhadapan dengan pelbagai masalah dan cubaan. Dia cuba yakinkan dirinya yang ini semua hanyalah sementara dan tidak pernah putus - putus berdoa kepada pemilik segala hal di dunia ini. Kadang kala dalam doanya yang kudus, air mata jernih mengalir tanpa henti mengenangkan nasib dirinya yang selalu diasak duka.
Bermula dari saat pemergian seorang demi seorang ahli dalam keluarganya, dia merasakan segalanya kosong dan sunyi. Kehidupan hariannya tak lagi seceria dulu, tak lagi seindah dulu, dan tak lagi sebahagia dulu.
"Mungkinkah selamanya aku tidak akan bertemu dengan kegembiraan??" Pernah hatinya bersuara yang demikian tapi cepat - cepat diinsafinya dengan istighfar. Dia mengingatkan dirinya untuk sentiasa memandang ke bawah dan melihat betapa dirinya masih lagi beruntung dan betapa ramainya lag insan yang di luar sana lebih sadis hidup mereka. Kehadiraan ibu dan teman - teman karib sentiasa menyuburkan semula semangatnya untuk terus berdiri teguh di muka bumi Allah ini.
Namun, musibah tiba lagi. Kali ini dengan kematian orang yang hampir dengannya iaitu datuknya. Datuk yang selalu memuji, mengajar, dan menasihatinya kini telah tiada selama - lamanya. Kesedihan yang ditunjukkannya dinafikan haknya kerana mereka masih menganggap dia pembawa malang dan malapetaka. Sekali lagi air matanya tumpah dan mungkinkah kali ini tiada hentinya. Dia sendiri tak mengerti. Dia mulai senyap dan sepi.
Sebelum itu juga dia banyak membungkam perasaannya apabila dia kehilangan satu - satunya teman di kala duka dan suka, penghibur tika hati lara. Ya, abangnya kini telah pergi selama - lamanya meninggalkan hanya keping - keping memori yang menyedihkan kerana kini dia harus melalui segalanya hanya bertemankan si ibu yang setia.
Namun begitu, semangat dan roh almarhum abang dan datuknya masih menghunjam dalam ke pasak hati nuraninya. Kedua - dua insan kesayangannya ini benar - benar berharap yang dia akan keluar daripada kepompong kesedihan ini. Tidak sepatutnya kematian ditangsi lama - lama kerana itu tanda orang yang tidak redha dengan ketentuan Ilahi. Jadi dia redha dan sentiasa berdoa agar hasrat arwah abang dan datuknya dapat dilaksanakan.
Teringat tatkala itu bagaimana baginda Nabi Muhammad saw sendiri juga pernah diuji hebat oleh Allah aza wajalla apabila dalam tahun yang sama, Khadijah dan Abu Talib pergi meninggalkan baginda Nabi sendirian. Di kala baginda masih amat memerlukan mereka dalm perjuangan Nabi menegakkan Islam, Allah yang Maha Mengeetahui itu mengambil mereka selama - lamanya.
Namun Allah meraikan Nabi dengan membawanya menaiki Sidratul Muntaha untuk berjumpa langsung dengan Allah swt demi menerima perintah solat. Hal ini dirakamkan sebagai suatu peristiwa yang dinamakan sebagai Israk & Mikraj, yakni perjalanan malam merentasi sempadan keterbatasan pancaindera tatkala Nabi Muhammad saw digerakkan dari Masjidil Haaram ke Masjidil Aqsa lalu dibawa terus ke langit Allah. Subhanallah.
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" Al Isra ayat 1
Dia tertunduk malu mengenangkan bahawa dirinya salah selama ini. Dia bukanlah pembawa malang atau sial, sebaliknya Allah swt sedang mengujinya untuk melihat sejauh manakah kepatuhannya kepada Allah.
No comments:
Post a Comment