Assalamualaikum.
Sekadar suatu perkongsian dan penyampaian idea di bulan yang penuh barakah, bulan Ramadan Al - Mubarak. InsyaAllah bermanfaat.
Kadang kala kita berasa seronok dan puas apabila kerap kali melakukan dosa . Tanpa segan silu kita melakukannya, tanpa rasa bersalah terhadap yang Maha Mencipta. Kita tetap dengan pendirian dan kealpaan kita yang dinodai nafsu yang tidak pernah puas.
Di saat orang lain melakukan ketaatan dan kepatuhan kepada sang pencipta, kita di sini tetap bergelumang dengan dunia dosa, ibarat diri tidak bertuhan. Nafsu dibiar bermaharajalela, akal dibiar terkontang tak bersuara, hati insani dibiar tempang dalam langkahnya, kerana kita hanya tahu untuk mengikut jejak langkah nafsu semata - mata.
Oleh sebab itu agaknya, Allah swt, menjadikan suatu bulan yang padanya dirantai kesemua syaitan - bulan Ramadan.
Sungguhpun demikian, jangan pernah kita lupakan firman Allah swt dalam Surah An - Nas ayat ke 6, "(iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia." Apa yang cuba Allah katakan melalui ayat tersebut?? Apakah makna tersirat di sebalik ayat terakhir dalam Al - Quran ini?? Allah ingin memberitahu kepada kita bahawa sesungguhnya bukanlah hanya jin yang boleh membawa kita ke kancah dosa, tetapi juga dalam kalangan manusia yang antara lainnya bermaksud NAFSU kita.
Tujuan puasa dianjurkan adalah untuk mengekang hawa nafsu. Sungguhpun pada bulan Ramadan yang mulia ini Allah telah membelenggu syaitan, jangan kita lupa pada nafsu kita yang hampir 11 bulan dilatih oleh Jin dan Syaitan untuk meneruskan legasi kejahatan mereka untuk menyesatkan anak cucu Adam as.
Mengikut pandangan jumhur ulamak, nafsu dan syaitan ini memainkan peranan mereka di dalam pembuluh darah manusia. Mereka menggunakan seluruh rongga badan manusia untuk masuk dan memanipulasi akal dan hati kita. Oleh sebab itu, puasa adalah amat dianjurkan yang bertujuan menyempitkan laluan atau medium pergerakan mereka. Sungguhpun demikian, tidaklah sehingga menutup pintu laluan mereka. Tetap juga kita perlu menahan diri (imsak) daripada terjerumus ke dalam kancah dosa.
Konklusinya, syaitan akan terus berusaha untuk menyesatkan manusia, tetapi kita perlulah bijak dalam menguasai dan mengatasi mereka. Jadikanlah madrasah Ramadan dan peluang yang hanya datang sekali dalam setahun ini dengan sebaik - baiknya. Usahakanlah untuk memperbanyakkan ibadah, memandangkan sinergi ketakwaan dan keimanan kita memerlukan tenaga untuk dijana pada 11 bulan yang lainnya. Salam sayang, Azzahrawifazuan....
No comments:
Post a Comment