Sekali lagi perselisihan faham berlaku. Lagi, lagi dan lagi. Entah untuk keberapa kalinya kami berselisih faham lalu memanifestasikan kemarahan dan ketidakpuasan hati. Persahabatan, bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh, tetapi yang lebih payah dari tu adalah untuk mempertahankannya. Walau macam mana sayangnya kita kepada dirinya, ada kalanya kebaikan kita dianggap pelik, sikap ambil berat kita dipandang sempit, usaha kita mendekatinya juga disangkanya sia - sia.
Entri kali ini adalah untuk bercerita dan berkongsi bagaimana rasa sayangnya diri ini buat seseorang yang dinamakan sahabat atau teman sejati. Alhamdulillah, Allah pertemukan diri ini dengan dirinya di sebuah kolej, masing - masing pada mulanya hanyalah sekadar bertegur sapa dan bertukar - tukar salam. Hari demi hari dilalui dan aku bersyukur kerana di sini, di dunia penuh keasingan bagi diriku ini, ada seorang insan yang sudi menerima diri ini. Keramahannya, ketulusan hatinya, kesopanannya, dan kebijaksanaannya dalam mengendalikan sesuatu perkara membuat aku temui persamaan antara aku dan dirinya.
Dia sangatlah baik dan bijaksana. Aku kerap kali menjadikan dirinya suri teladan bilamana melibatkan akademik. Aku hormatinya dan dia juga kenampakannya menghormati diriku. Syukur Alhamdulillah. Bermulanya saat itu, aku sangat pasti, Allah telah menggantikan kehilangan sahabat lama yang jauh dari mata dengan seseorang yang baru. Mungkin dialah orangnya pada pandanganku. Kami sering bertukar - tukar pandangan dan ideologi dan bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya melihat kami berbicara isu - isu yang memerlukan daya pemikiran yang tinggi terutamanya melibatkan hidup.
Setiap hari dalam doaku, pasti akan ada saham untuk dirinya sekali sebagai tanda betapa aku sangat menghargai dirinya. Aku tidak mahu persahabatan ini hanya dimeterai lahiriah sahaja, oleh kerana itulah aku memohon agar Allah memelihara dan menjaga persahabatan ini. Aku sangat mengimpikan berada di bawah naungan Arash Allah azawajalla bersamanya lantas kerana itulah sebolehnya persahabatan ini dijaga. Dahulunya sahabat aku adalah abangku sendiri, Almarhum Muhammad Firdaus bin Abdul Karim. Tapi Allah lebih menyayanginya dari diri ini lalu dia diambil pergi dalam suatu tragedi kemalangan motosikal.
Lalu mana mungkin aku rela sekiranya persahabatan yang aku sayang ini direnggut lagi. Hanya ajal yang boleh memisahkan dua sahabat ini. Itu yang cuba untuk aku implementasikan. Bagiku sahabat adalah insan yang paking akrab selain dari mama dan abahku. Memandangkan dalam keluarga hanya tinggal aku seorang, maka sahabatlah yang aku harapkan untuk berkongsi rasa kasih dan sayangku ini. Subhanallah, aturan Allaah itu sangatlah sulit tetapi berhikmah. Di bumi INTI International University inilah aku temui dirinya, sahabatku, teman sejatiku.
Pernah terjadi di suatu malam, ada seseorang yang mengatakan ada beberapa orang yang kurang menyenangi diriku, membenciku, dan tidak senang melihatku. Aku jadi sangat buntu dan membungkam dalam diriku sendiri. Aku melihat di telefon ada sebuah mesej dan lalu aku membukanya, ya datangnya dari sahabatku itu. Aku masih ingat dia mengatakan yang dia dan kawan - kawan lain ada.untuk menyayangi dan menyenangi kehadiranku. Bukan itu sahaja, ramai lagi yang perlukan diri ini. Di akhir kata - katanya dia menulis, dia hanya kenal seorang Fazuan, dan Fazuan itu osemm. Hati ini benar - benar terpujuk dengan kata - katanya.
Aku mula memasang tekad mulai dari saat itu, aku akan cuba sedaya upaya untuk memelihara persahabatan ini keakhirnya. Bersahabat hingga ke syurga, itulah matlamatku. Aku mulai percaya, ada hikmahnya Allah pertemukan aku dengannya, dan pastinya Allah telah memberikan yang terbaik untukku. Syukur Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment