
Assalamualaikum wbt.
Selalunya manusia bertanya kenapa banyak sangat ujian yang Allah bagi?? Kenapa daripada ramai - ramai manusia, Allah bagi ujian ini kepada aku?? Kenapa hanya aku dan bukannya orang lain?? Banyak kali sebenarnya diri ini diuja dengan soalan 'killer' yang menunjukkan betapa entengnya kebergantungan kita kepada Allah azzawajalla.
Sahabat sekalian, bilamana diri kita ini diuji atau rasa seperti teruji dengan kepayahan. kesakitan, kesusahan, kemudaratan atau apa sahaja bentuk ujian pertama sekali pernahkah kita mengobservasi betapa banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada kita?? Sepanjang hidup kita ini, jika dibuat timbang tara, berapa banyakkah nikmat dan kesenangan yang telah diberi Allah, berapa banyakkah kemudahan dalam setiap perjalanan panjang yang dikurnikan olehNya?? Kita sering menyalahkan pemilik segala kemudahan dan kesenangan kita ini dengan pelbagai prejudis dan syak wasangka.
Sekadar satu perkongsian berkenaan kisah hidup Nabi Allah Ayyub as. Baginda merupakan seorang hamba Allah yang telah diberi nikmat kekayaan, kesihatan, dan kesuburan yang hebat. Baginda mempunyai anak yang sangat ramai, isteri yang taat dan patuh kepadanya, tanah yang banyak, harta yang melimpah ruah, dan kesihatan tubuh badan yang luar biasa. Pada waktu senang lenang ini, baginda masih tetap sujud dan patuh kepada perintah Allah dan mensyukuri atas nikmat yang diperolehnya dan keluarga baginda.
Disebabkan kehebatan sifat syukur dan tawaduknya baginda Nabi Ayyub as, telah menimbulkan rasa marah sang iblis yang lalu cuba untuk menggoda baginda ternyata gagal sama sekali. Begitu jugalah isteri baginda dan anak - anaknya yang hidup dalam keadaan yang sangat patuh kepada suruhan Allah meskipun dilimpahi rahmat dan kesenangan. Sehinggalah pada suatu tahap, iblis memohon kepada Allah untuk mendatangkan ujian yang maha hebat kepada kerana menganggap baginda hanya beribadah dan mentaati Allah kerana harta dan untuk mendambakan nikmat yang Allah berikan kepadanya dan keluarganya. Adakah permintaan iblis itu dimakbulkan???
YA, Allah memakbulkan permintaan iblis itu kerana Allah lebih mengetahui betapa hebatnya keatuhan baginda nabi kepadaNya. Bermula dengan kematian anak - anak baginda yang ramai itu, lalu berpindah pula kepada kebinasaaan tanah - tanah milik baginda, sehinggalah kepada kesakitan yang terlalu hebat yang melanda diri baginda nabi. Terlantarlah baginda di pembaringan, tidak mampu berbuat apa pun melainkan hanya diasuh oleh isterinya sendiri. Namun, iblis punya rencananya sendiri.
Isteri baginda Nabi Ayyub telah termakan hasutan iblis lalu berjumpa dengan suaminya untuk mengadu. "Aduhai suamiku Nabi Ayyub, engkau adalah pesuruh Allah dan sangat dicintai oleh Allah. Tetapi mengapakah engkau diuji dalam keadaan seperti ini?? Berdoalah suamiku kepada Tuhanmu, supaya dihilangkan segala kesakitanmu, dan diwujudkan semula kemewahan kita yang dulu." Baginda dengan kesakitan itu masih mampu bertanya kepada isteri kesayangannya. "Berapa tahunkah kita hidup dalam kesenangan?? Dan berapa tahun pulakah kita hidup dalam ujian Allah??" Subhanallah, betapa hebatnya tawakal dan ketakwaan baginda. Tidak tercapai dek sifat kita yang hina dina ini.
Sahabat sekalian, berapa lamakah Allah bagi kepada kita hidup yang mudah, Allah kurniakan kebahagiaan yang berpanjangan, dan keluarga yang mencintai kita?? Pernahkah kita bertanya seperti itu kepada diri kita sendiri?? Kita hanya mahu yang baik, kita hanya mahu seronok, kita hanya mahu yang mudah tanpa mahu bersusah sedikit pun. Adilkah kita menyalahkan Allah hanya kerana kita diuji dengan ujian yang kecil??
Ingatlah sahabat, Nabi Ayyub yang dilimpahi kesenangan dan kebahagiaan hidup juga diuji. Baginda Nabi Muhammad saw kita sekalipun tetap diuji meskipun baginda itu Nabi Allah, pesuruh Allah. Persoalan kepada kita amatlah mudah, siapakah kita di mata Allah?? Cuba kita analisa diri kita masing - masing, layakkah kita untuk bersangka buruk kepada Allah, setelah segala kesenangan dan kebahagiaan dikurniakan kepada kita selama ini. Sebab itulah, ceritera baginda Nabi Ayyub itu bukanlah sekadar halwa mata untuk kita baca, tetapi untuk kita sama - sama telusuri dan implementasikan ke dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah yang beriman. Sungguhpun demikian, di akhir penderitaan baginda Nabi Ayyub as, Allah kembalikan semula kesihatan baginda, kekayaan baginda, dan keluarga baginda yang lainnya. Sungguh Allah itu maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
Akhir sekali, bukalah mata dan hati kita untuk melihat kebaikan di atas segala ujian. Carilah hikmah di sebalik setiap kesulitan. Ingatlah firman Allah dalam Surah Al - Insyirah ayat 5-6,
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
No comments:
Post a Comment