10 Januari 2013
Satu lagi tarikh dalam hidupku yang sama sekali tidak dapat aku lupakan. Peristiwa yang amat pahit ini memberi tamparan hebat buat diriku yang sering kali lupa dan alpa dengan kelebihan dan kebaikan yang telah Allah kurniakan. Pada hari ini, kira - kira jam 9.15pm sewaktu aku singgah sebentar untuk menunaikan solat jamak qasar di Surau KL Sentral, dompetku dicuri lagi buat kesekian kalinya. Nampaknya, surau bukanlah tempat yang selmat lagi untuk kita sesuka hati meninggalkan barang atas tujuan beribadah sekalipun.
Aku meletakkan dompet itu di belakang beg galasku dan menyandarkannya di dinding surau, lalu aku keluar untuk mengambil wudhuk. Dalam masa yang begitu singkat, tidak sampai pun 5 minit, setelah aku kembali dari tempat wudhuk, aku menyedari tiada lagi dompetku di mana - mana sekitar surau. Hati ini mula berdegup kencang sepertinya ada aura yang merenggut ketenanganku saat itu. Dalam keadaan yang penuh kacau bilau itu, aku menyempatkan diri bersolat dan menyelesaikan tuntutanku sebagai Muslim.
Kemudian, aku pergi ke kaunter pertanyaan untuk meminta bantuan, lalu mereka menyuruhku ke podok balai polis di tingkat dua bangunan itu. Pada mulanya aku sangat stress memandangkan aku lambat dilayan dan perlu menunggu lama. Setelah diberi peluang untuk masuk, tiba - tiba air mata ini mengalir selaju mungkin dan aku sama sekali tidak mampu menahan sebak di dada. Aku menangis sepuasnya mengadu kepada pegawai polis itu akn nasib diriku.
Pegawai itu sangatlah sabar orangnya. Dia melayan aku seperti anaknya sendiri, dengan cara menenangkan hatiku, memberiku peluang bersuara, dan menasihatiku dengan penuh hikmah. Walaupun pada mulanya aku terasa agak terusik dan bertambah - tambah sedih, tetapi lama kelamaan aku mampu mengawal diriku sendiri. Dia berkata padaku jangan lagi cuai dan alpa dengan apa yang kita ada. Sentiasalah berjaga - jaga dan bersiap siaga walaupun berada di dalam surau. Aku cukup mengkagumi ketenangan dan kesabarannya dalam melayani esak tangisku, persis seorang ayah kepada anaknya.
Dalam pada menunggu membuat laporan, aku terlalu risau memikirkan bagimanakah cara untuk aku balik semula ke Ipoh memandangkan tiket ETS telah diambil orang dan semua duit beserta kad - kad ATM hangus begitu sahaja. Entahlah.. Aku sepertinya memang mula membayangkan aku terpaksa tidur di dalam KL Sentral untuk sepanjang malam itu.
Dalam pada aku menunggu, datang pula seorang lelaki yang muda iaitu polis bantuan dan dia terus menuju ke arahku dan lalu bertanya perihal mengapa aku menangis. Setelah dicerita, dialah yang membantu aku untuk mendapatkan tiket Tren Senandung Mutiara yang bergerak dalam pukul 11pm. Dari awal prosedur hinggalah aku dapat tiket itu di tangan ini, barulah dia melepaskan aku pergi. Baik sungguh hati abang itu. Mulia di pandangan tak ubah seperti namanya, abang Abdul Qayyum. Teringat pula akan arwah abangku yang dah lama meninggalkan aku.
Tidak juga aku lupa jasa baik Ariff, sahabatku yang terlalu mulia hati dan jiwanya. Waktu mula - mula kehilangan dompet itu, aku bagaikan sasau dan tak menentu. Hati ini pada waktu itu hanya terbayangkqn satu wajah selain mama dan kak jai: dialah orangnya. Insan yang banyak menenangkn ku dan menguatkan semangat aku untuk terus berjuang. Dia murah hatinya memasukkan prepaid RM 10 tanpa perlu aku minta dan tagih. Lalu dia menelefonku untk bertanyakan keadaanku. Tidak boleh dilupakan jasanya yang paling besar iaitu memasukkan duit RM 100 ke dalam akaun abang Qayyum tanpa aku minta. Pada mulanya aku rasa berat hati, tetapi selepas mendengar keinginannya yang sangat ikhlas itu, aku tidak menolak.
Sekarang aku hanya ingin bercerita tentang hikmah daripada kisah kecurian dan apa saja yang aku alami daripada tragedi yang ini. Sesungguhnya Allah itu maha hebat perancangannya. Dia ambil dompet itu daripadaku tetapi Dia beriku seorang ayah yang baik, abang yang penyayang, mama yang mengambil berat, mak cik yang prihatin, dan teman sejati yang persahabatannya berbaur syurga. Dalam hatiku, aku benar - benar berharap semua individu ini iaitu kami, dikumpulkan oleh Allah azzawajalla di dalam syurganya. Sungguh, hatiku mungkin sedih menangisi kehilangan dompet dan isinya itu, tetapi di sebalik itu, tersimpan rahsia Allah yang maha agung akan pertemuan insan - insan mulia ini dalam hidupku. Amiin..

No comments:
Post a Comment