Perasaan sayang adalah sesuatu yang amat normal dalam diri setiap dalam kalangan kita. Ada kalanya sayang itu adalah pada suami, isteri, anak - anak, mahupun sahabat. Tidak kisahlah apa juga bentuk sayang sekalipun, perlu diingatkan, ianya perlu didasari kasih kepada Allah dan rasul.
Prioritize your days!! Itulah yang diungkapkan oleh jutawan dunia, Bill Gates dalam usaha untuk semua orang berjaya dalam hidup mereka. Dalam konteks ini juga, sekadar berkongsi pendapat, dalam hubungan sayang menyayangi juga perlu kepada prioriti. Walau bagaimana sayangnya kita pada seseorang, tetap saja yang penting perlu dipentingkan dan yang utama perlu diutamakan.
Sebagai contoh, perasaan sayang kita kepada isteri. Memang pada dasarnya dialah yang telah ditetapkan oleh Allah untuk menjadi suri di hati dan hidup kita. Namun itu bukanlah alasan untuk seorang suami mengambil mudah soal peribadi isterinya. Sekiranya si isteri tersalah langkah an berbuat mungkar, maka wajib suaminya mengambil tindakan menegur isterinya itu walaupun terlalu amat menyayangi isteri itu. Kerana apa, perintah Allah itu jauh lebih penting untuk kita jalankan daripada sayang kita kepada kepada si isteri.
Contoh lain adalah dalam soal bersahabat dengan seseorang. Mereka ini tidak dapat dinafikan adalah amat penting untuk kita hinggakan Nabi Muhammad saw sendiri memperakui peri pentingnya soal sahabat.
Sabda baginda, " agama seseorang itu ditentukan oleh agama sahabat dan teman mereka."
Hal ini bermakna kawan kita adalah cerminan diri kita. Baik kawan maka baiklah kita pada pandangan masyarakat. Dengan adanya kawan yang baik maka kita juga akan mengikut jejak langkah mereka untuk menjadi yang lebih baik..
Sungguhpun yang demikian, ada juga yang sanggup mengorbankan diri mereka, dilukai, disakiti, dan dikecewakan hanya kerana mahu diterima sebagai salah seorang daripada ahli sesuatu kumpulan. Juga ingin berkongsi perihal seorang yang sangat menjaga persahabatannya dengan orang lain sehinggakan dirinya yang terkorban. Demi sahabat tersayang, sanggup bergolok bergadai dan disakiti, padahal 'sahabat'nya itu tidak pernah menganggapnya sebagai kawan pun.
Untuk jiwa - jiwa yang pernah luka pedih kerana sayang, ingatlah, perasaan kalian itu tidak pernah salah, cuma diberikan kepada jiwa yang salah. Untuk apalah kita memberi pada orang yang tidak perlu. Oleh itu, sedarlah dan kembalilah ke landasan kejayaan, jangan biarkan dirimu terus disakiti. Prioritikan apa yang penting dan utamakan apa yang utama!! Wallahualam.
No comments:
Post a Comment