Tuesday, 15 January 2013

Pemergian yang Terlalu Pantas

Walau macam mana sayangnya kita pada seseorang itu sekalipun, tetapi ketentuan untuk dirinya jauh lebih bermakna dan penting. Ya, memang ada kalanya kita sayang sangat pada seseorang dan tanpa kita paksa perasaan sayang itu muncul dengan automatik. Teringat pula apa yang berlaku ke atas diri ini yang agak sedih dengan pemergian seseorang yang amat baik hati dan budinya.

Insan yang baru beberapa hari lepas membantu aku keluar dari permasalahan yang melibatkan hidup dan mati, kininsudah tiada lagi di atas muka bumi ini. Allah telah menjemputnya kembali le rahmatullah pada hari Ahad ( 13 Januari 2013 ) jam 7.10 petang. Kehilangannya amatlah aku kesali dan memberi impak maksima buat diri ini. Abang Abdul Qayyum, seorang anggota polis yang membantuku mendapatkan semula tiket tren dan sudi memberi pinjam nombor akaunnya walau hanya seketika mengenaliku.

Sebab itulah aku sepertinya tidak mampu berkata apa lagi bilamana mendapat mesej mengatakan yang kini dia telah tiada lagi dunia ini. Terduduk aku termangu memikirkan kenapa insan semulia dan sebaik dia pergi begitu pantas. Tidak sempat pun aku ingin mengenalinya dengan lebih mendalam.

Dia meninggal berpunca daripada pendarahan dan luka yang terlalu banyak di bahagian ususnya hasil daripada tikaman oleh salah seorang penjenayah. Pergelutan antara dia dan penjenayah itu memanifestasikan kesakitan yang kekal untuk tempoh beberapa jam dan akhirnya merenggut nyawanya. Subhanallah, sungguh pantas masa berlalu dan seperti baru semalam aku mengenalinya. Sungguh aku katakan, aku sangat - sangat berharap arwahnya ditempatkan di dalam kalangan hamba - hambaNya yang beriman. Inshaa Allah.

Fazuan, ingatlah suatu perkara. Insan yang baik ini nyawanya memang tidak panjang kerana Allah sangat menyayangi mereka. Seharusnya kita menangisi kenapa kita ini masih tidak dijemput Allah. Adakah kerana dosa dan maksiat yng pernah kita lakukan?? Atau kerana banyak sangat hal - hal yang tidak baik yang pernah kita perbuat. Setidak - tidaknya pemergian ababg Qayyum adalah dalam keadaan yang baik. Dia meninggal dalam keadaan bergelut dengan penjenayah dannitu juga dikira sebagai jihad. Tapi bagaimana pula dengan diri kita??

Sebenarnya apa yang membuatkan aku bertambah sedih adalah kerana tarikh kematian abang Qayyum itu adalah pada tarikh perginya arwah abangku 4 tahun dahulu. Semenjak itu, aku memang tidak mahu membuka pintu hatiku untuk menerima atau menganggap sesiapa sebagai abang, sehinggalah aku berjumpa dengan abang Qayyum. Sayangnya, semua itu terkubur sekali lagi. Sesungguhnya aku percaya Allah lebih jauh menyayanginya datipada aku yang lemah ini. Mungkin selepas ini, tiada lagi istilah abang dalam hidup aku. Aku tidak akan lagi membuka pintu hati ini pada sesiapa lagi, cukuplah memori dan kenangan bersama dua orang abang yang sangat hebat itu kekal bersemadi dalam ingatan ini.

Innalillah hiwainnailaihirojiun. Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jualah kita kembali. Tenang - tenang hatimu sahabat, kita bermuhasabah dengan dalil dan bukan nafsu. Ketenangan itu milik Allah dan mintalah dariNya. Semua ini, di kiri kanan atas dan bawah semuanya adalah kepunyaan Allah, kita hanya meminjamnya buat seketika. Jadi, jangan menangis wahai hati. Bagi sesiapa yang membaca entri ini, tolonglah sedekahkan Al - Fatihah buat dua insan hebat ini :

1. Muhammad Firdaus bin Abdul Karim
2. Abdul Qayyum

Semoga Allah tempatkan mereka bersama hamba - hambaNya ynag beriman dan beramal soleh. Amiin.

No comments:

Post a Comment