Thursday, 24 January 2013

Syabab - syabab Bersemangat Waja

Pelan dah diatur, masa dah ditentukan. Kami bergerak menuju sebuah ekspedisi mendaki Bukit Melati yang terletak berdekatan kawasan universiti. Pada jam 6.50am, tatkala yang lain mungkin masih lena diulit mimpi, kami syabab - syabab bersemangat waja ini mula dengan misi kami yang jelas, untuk bersama - sama menakhluk puncak Bukit Melati. Tetapi, bukan sekadar hiking biasa - biasa, hiking ini sarat dengan makna dan keindahan. Seperti mana yang dipersetujui aku diberi tanggungjawab untuk mengepalai kumpulan yang terdiri daripada 10 orang ikhwah ( brothers ).

Pahit getir ditempuh bersama, walau kepenatannya hanya Allah yang tahu, tetapi kemanisannya melakukan aktiviti bersama itu amatlah bermakna buat kami semua. Setelah menaiki puncak pertama, kami membuat keputusan untuk berehat - rehat seketika di sebuah kawasan yang lapang, penuh dengan rimbunan pepohonan menghijau. Kesemua sebelas orang kami membentuk satu bulatan halaqah yang sederhana besar, lalu sahabat kami memulakan sesinya. Kita boleh letakkan nama sesinya sebagai usrah atau halaqah di atas bukit. Pengisiannya amat bermakna dan diri ini hanya mahu berkongsi sebahagiannya sahaja.

Ukhwah fillah yang terbentuk hasil daripada pertemuan beberapa hari lepas seakannya telah menjadi amat kukuh, tetapi bukan sebarangan ukhwah, sebaliknya ukhwah yang dipenuhi jiwa - jiwa yang tenang khusus untuk mengenali Allah. Seyogianya semua ukhwah itu terbentuk hasil daripada tautan iman yang kukuh di dalam setiap individu Muslim. Kerana pada hakikatnya, ukhwah itu bukan hanya pada persahabatan picisan yang tiada nilainya.

Ukhwah fillah itu terbentuk hasil didikan dan acuan agama yang hebat. Lihat sahaja bagaimana pada zaman baginda Nabi Muhammad saw, 3 orang sahabat yang rela berkorban untuk satu sama lain demi mempertahankan ukhwah fillah yang mereka bentuk. Pada mulanya seorang daripada mereka yang hampir menemui sakratul maut terlalu inginkan air dek kerana kehausan yang amat sangat, terdengar sahabatnya yang lain mahukan air, lalu didahului sahabatnya itu. Apabila yang seorang lain itu mahu meminumnya, lalu terdengar pula sahabatnya yang lain turut dahaga, lalu didahului sahabatnya itu. Apabila ditemui, kesemua mereka telah meninggal menyambut seruan Illahi.

Persoalannya, di manakah letaknya nilai persahabatan kita?? Adakah kita benar - benar ikhlas dalam melakukan apa juga perkara demi sahabat kita?? Apa - apa pun, cuba muhasabah diri masing - masing, adakah persahabatan yang terbina ini benar - benar di atas landasan yang diredhai Allah.

Antara lainnya, perkongsian berkenaan cabaran yang bakal dihadapi, terutamanya buat adik - adik kami yang baru sahaja masuk ke era universiti. Buat masa ini, kita seakannya berada di Hong Kong, ramai dan sarat padat dengan kepelbagaiaan agama, bangsa, mahupun negara berkumpul di sini untuk mendambakan ilmu pengetahuan. Cabaran yang dihadapi amatlah sukar dan payah, apa lagi untuk memberi penjelasan tentang syariat Islam. Contoh yang paling mudah ialah bersalam. Ya, Islam melarang kita bersentuh lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa lapik.

Tetapi yang menjadi enigma yang membungkam diri ialah bagaimana untuk memberi kefahaman itu kepada yang bukan Islam. Apakah pula kata mereka nanti?? Sungguhpun begitu, itulah yang perlu kita pelajari, kerana pada hakikatnya sewaktu kita ke luar negara nanti, cabarannya makin mencabar dan getir. Sekiranya kita sedar akan prioriti itu, maka tidak ada yang lain yang mampu untuk menghalang kita daripada mempertahankan hak beragama kita, inshaa Allah.

Sebelum penulisan ini menuju ke penghujungnya, bagi yang membaca, cuba kita fikirkan sejenak, apakah yang perlu dilakukan untuk memenangkan umat Islam?? Cuba kita fikir bagaimana untuk menyatukan umat Islam secara keseluruhannya dan meletakkan Islam ke tempat yang selayaknya diduduki. Nak kata kita tiada tokoh ulama, maka kita ada Prof Dr Yusuf Al - Qaradhawi, nak kata tiada tokoh pemimpin, maka kita ada Dato' Seri Nik Aziz, tetapi apakah yang masih kurang kepada kita?? Cuba fikir - fikirkan dan selamat beramal.

No comments:

Post a Comment