Sunday, 30 December 2012

Di Sebalik Kesusahan ada Kemudahannya

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang mampu aku keluarkan setelah melihat keputusan semester 3 secara atas talian atau "online". Betapa gembiranya aku mendapat keputusan yang amat memberangsangkan iaitu GPA 3.84 dengan semua subjek mendapat A. Kegembiraan hati ini disaksikan oleh mama yang sentiasa menjadi pendamping setia di kala senang mahupun susah.

Setelah begitu lama aku menantikan dalam penantian yang amat mendebarkan, Alhamdulillah segalanya bagai mimpi menjadi kenyataan. 4 subjek yang aku ambil: Social Psychology A+, Biology A, Philosophy A-, Statistical Methods A-. Tabarakallah, sepertinya aku hanya mampu kata yang aku sangat gembira melihat kejayaan diriku sendiri. Aku bersyukur kerana Allah kurniakan ke atasku rezeki yang amat tidak dijangkakan.

Kegembiraan ini dikongsi bersama dengan ramai orang, antaranya ialah mama, Arifah, Amira, Sazlin, Cikgu Zaitun, Cikgu Sabarina, Cikgu Anita, mama Sha, Kak Amira, Kak Siti, abah, dan ramai lagi. Syukurlah kepada Allah kerana tanpa berkat doa dari orang - orang ini, mungkin kejayaanku ini tidak dapat diraih. Meraka inilah PENDORONG kuat yang utama dalam menyaksikan jatuh bangunnya Muhammad Fazuan.

Mungkin inilah hikmahnya kenapa Allah uji aku dengan ujian yang terlalu banyak saat - saat sebelum peperiksaan berlangsung. Antara yang masih kuat di ingatan ialah kehilangan beg dompet bertepatan sebelum aku masuk ke dewan peperiksaan bagi menduduki kertas Statistical Methods. Entah ke manalah hilangnya, hingga membuat aku sungguh tertekan sewaktu menjawab peperiksaan itu. Mujurlah pensyarah Miss Liow masih membenarkan aku masuk ke dewan walaupun tanpa kad pelajar (ID).

Kesemua formula dan jalan kira yang sebelumnya seakannya menjadi kabur dan hilang, tapi hati ini dan semangat juang ini tetap tidak mahu mengalah. Aku kuatkan diri menjawab walaupun tekanan masa dan tekanan dalaman yang datang dariku teramatlah kuat pada waktu itu. Seusai saja peperiksaan aku menangis dan bersedih seketika kerana beranggapan orang yang mengambil dompet itu telah berjaya merosakkan keputusan aku tatkala dia mengambil dompetku betul - betul sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

Rupa - rupanya Allah masih sayangkan diri ini kerana dalam keadaan itupun, masih lagi Statistical Methods aku mendapat A-. Allah telah menjawab dan memakbulkan doa aku dengan manifestasi kejayaan ini. Syukurlah Allah masih sayang, dan kesakitan yang aku hadapi itu hanyalah cebisan kemanisan yang bakal diperolehi. Janganlah kita menangisi sesuatu itu dalam tempoh yang lama kerana kita masih ada Allah bersama kita dan Dia tidak akan membenarkan kita gagal dan jatuh dalam keadaan yang lama.

Sesungguhnya di sebalik kepayahan kesusahan itu ada kemudahannya. Itulah yang dipegang oleh diri ini walaupun cabaran yang mendatang teramatlah besar. Terinagtku pesanan Cikgu Zaitun. Katanya, " jika kita ingat Allah, Allah ingat kita. Kita dekat dengan Allah, Allah lagi dekat dengan kita, bahkan lebih dekat dari urat leher kita sendiri. Bila Allah beserta kita, segala isi dunia yang kita inginkan akan tercapai. "

Satu prinsip aku dalam usaha untuk menggapqi kejayaan. Aku yakin, selain Allah dan RasulNya, aku ada mama yang perlu untuk dijaga dan disayangi. Hanya akulah kini yang menjadi tempat mamaku bergantung dan menumpang kasih memandangkan abangku telah meninggal 4 tahun yang lepas dan mamaku pula ialah ibu tunggal. Jadi aku perlulah melengkapkan diri dengan ilmu, ekonomi yang kukuh, dan fizikal yang kuat supaya mama mendapat dahan yang teguh untuk berpaut.

Sekian saja pengisian untuk kali ini. Moga bermanfaat untuk kita semua. Wallahualam.




1 comment:

  1. Congratulations again Fazuan, knew you had it in yah :)

    ReplyDelete