Wednesday, 10 July 2013

KILAU : Kefahaman Ibadurrahman (Part 3)

Pernahkah dalam seharian kehidupan kita ini, kita lapangkan sekelumit masa yang ada untuk kita bertanya kepada diri kita, "bagaimanakah hubungan aku dengan Allah pada hari ini??" Pernahkah kita merasakan ketenangan saat lidah kita melantunkan ayat - ayat suci Al Quran Al Kareem nun jauh di dalam lubuk hati kita?? Pernahkah kita bertanya sendiri, "apakah selama aku hidup ini amalan dan ibadatku diterima olehMu ya Allah??"

Kerana topik perbincangan kali ini sebenarnya saya repost memandangkan sebelumnya slot ini digabungkan dengan slot Fikrah Islam Kita dan ada yang memberi cadangan untuk diasingkan supaya mudah untuk dirujuk kembali di kemudin hari. Kali ini kita bercakap dan mempersoalkan tentang TAQARRUB kita dengan Allah swt inshaAllah.

***** Ibadurrahman *****

Slot ini ialah slot yang paling mantap pada pandangan saya. Penyampainya benar - benar berusaha untuk memberi kefahaman yang mantap kepada pendengarnya. Pada asasnya, Ibadurrahman ialah hamba - hamba Tuhan yang Maha Pemurah (the Most Gracious), yang mana kesemua karakternya menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah swt. Hal ini boleh dirujuk di dalam Surah Al Furqan ayat 63-77. 

Sebelum pergi lebih jauh, elok sekiranya kita timbulkan persoalan ini terlebih dahulu. Apakah sebenarnya kebaikan atau manfaat menjadi Ibadurrahman ini?? Apakah signifikannya?? Percayalah, Ibadurrahman ini sebenarnya mempunyai hubungan mantap dan kukuh dengan Allah swt, dan pastinya sebagai insan yang sangat hebat taqarrubnya dengan Allah maka jelaslah manfaat yang mereka perolehi. Antaranya ialah diperkenankan doanya, diingingati oleh penduduk langit dan bumi, dilindungi sentiasa, dan diberi nikmat walau tidak diminta olehnya.

Dalam bulan Ramadha kareem ini, eloklah kita jadikan satu batu loncatan untuk kita sama - sama berusaha untuk menjadi hamba Allah yang baik. Teruja?? Gembira?? Jadi apakah mekanisme untuk mencapai darjat Ibadurrahman?? Walau bagaimanapun, saya hanya akan menghuraikan sebahagian daripada karakter Ibadurrahman ini dek kerana kekangan masa.


1. Berjalan dengan SOPAN dan MERENDAH DIRI

Sopan bukanlah bermakna perlu berjalan tunduk atau memandang ke bawah setiap masa. Merendah diri itu pula bukanlah memencil diri dan jauh daripada masyarakat. Itu fahaman yang salah!! Sopan dan merendah diri ini datang secara pakej yang saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Dari aspek percakapan, perbuatan, atau sifat perlu dilakukan seperti Nabi Muhammad saw.

Sebaik - baik manusia iaitu Rasulullah juga cakapnya tegas, jalannya tegap dan pantas. Bermakna tidak perlulah berjalan sehingga tak nampak tiang depan mata lalu menyondolnya. Ahaks. Janganlah kita sombong dan membangga diri, dan pada pandangan saya, sesombong manusia ialah seorang da'ie yang sombong. Hal ini kerana mereka mengetahui tentang Islam, tetapi mereka bertindak menjadi sangat kasar dan sombong.


2. Kalau ada yang datang mengeluarkan kata - kata yang kesat atau mengutuk, mereka membalasnya dengan PERKATAAN yang BAIK

Bayangkan situasi tatkala kita dalam kelompok kita sahaja. Semuanya baik, semuanya mengikut apa yang kita mahukan. Namun bayangkan sejenak, sekiranya kita sedang menyampaikan sesuatu bahan fikrah atau dakwah, ada insan - insan yang datang kepada kita lalu mengutuk dan mencaci kita yang pelbagai, apa yang akan kita buat?? Pada kebiasaannya, kita akan marah dan membalas kembali caci maki tersebut dengan sesuatu yang lebih teruk lagi. Namun itu bukanlah karakter Ibadurrahman.

Mereka tetap sabar, dan setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka sangat baik dan menenangkan (SALAM). Jika kita tidak mampu berkata sesuatu yang baik, maka apa kata Nabi Muhammad saw, lebih baik untuk kita berdiam diri. Hal ini kerana Nabi tidak mahu kita mengutarakan perkataan - perkataan yang buruk dan menjejaskan maruah.


3. Orang yang menghabiskan malamnya dengan ibadah (QIAMULLAIL)

Mesti kita tertanya - tanya mengapa solat malam ini diletakkan di nombor tiga didahului oleh bersopan santun dan membalas perkataan yang baik?? Jawapannya mudah sahaja, kerana sesungguhnya solat itu hanya melibatkan kita dan Allah swt. Kebaikan itu hanylah untuk diri kita semata - mata. Manakala ciri pertama dan kedua itu pula hubungan kita dengan manusia. Bagi seorang da'ie, karakter ini sangat - sangat diperlukan untuk menyeru manusia lainnya untuk kembali kepada Allah swt.

Dan kita perlu faham konteks ini, dakwah itu perlu dilengkapkan dengan ciri Ibadurrahman yang ketiga ini iaitu solat malam, kerana hanya dengan solat malam, hati seorang da'ie menjadi mantap.

"Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat mengisi jiwa, dan (bacaan Quran) itu lebih berkesan." Al Muzammil ayat 6


4. Orang yang takut dengan AZAB NERAKA

Ini sudah pastinya menjadi suatu kemestian untuk seorang Ibadurrahman. Waimma bukan Ibadurrhaman sekali pun, pasti kita tidak mahu diri kita ini dicampakkan oleh Allah swt ke dalam jurang api neraka yang di dalamnya tersedia bahan bakar dari diri manusia sendiri.

Sebagai suatu bentuk simboliknya, apabila kita selalu berharap agar dijauhkan dari azab neraka, mana mungkin Allah mencampakkan kita ke dalamnya juga. Allah itu Maha Mengetahui dan sama sekali tidak pernah menzalimi hamba - hambaNya. Oleh kerana itu, kita hendaklah selalu berdoa dengan doa yang masyhur agar Allah menjauhkan kita dari azab neraka itu. Doanya ialah:

"Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahannam daripada kami, kerana sesungguhnya azabnya itu membawa kebinasaan yang kekal" Al Furqan ayat 65


5. Menginfakkan harta dan tidak kikir

Segala apa yang kita miliki sekarang, bukan semuanya milik kita. Di dalam harta kita itu, ada hak orang lain yang perlu kita penuhi. Jika sekiranya kita mengabaikan atau mengingkarinya, maka kita adalah manusia yang sangat - sangat kejam kerana tidak mahu berkongsi rahmat Allah dengan manusia lain. Ingatlah, dunia ini seyogianya berada di tangan dan bukan di hati.

Gunakanlah segala nikmat, kekayaan, kebijaksaan, dan apa saja untuk kemaslahatan ummah sejagat. Bagi para du'at di luar sana, infakkanlah harta kita untuk kelangsungan dakwah dan tarbiyah kerana sesungguhnya harta itu mentarbiyah kita untuk berkorban. Lebih banyak kita beri, maka lebih banyak juga yang kita perolehi. Biiznillah (dengan izin Allah).


6. Tidak mempersekutukan Allah


7. Tidak membunuh orang lain kecuali dengan alasan yang HAQ


8. Tidak berzina

Owhh ya, ini hal yang sangat perlu diberi perhatian kerana ada kalanya tanpa kita sedari, zina berlaku dalam diri kita sendiri walau tanpa kita sedari. Di dalam Quran, Allah menyuruh kita JANGAN menghampiri zina. Bermakna setiap jalan atau marhalah untuk sampai ke zina itu perlu dijauhi. Pecahan zina itu sangat banyak daripada sebesar - besar zina hinggalah sekecil - kecil zina. Antaranya ialah zina mata, zina hati, zina tangan, dan zina mulut. Kesemua itu perlu kita elakkan sedaya upaya kita. Ingatlah, syurga itu tinggi nilainya. Maka pengorbanan untuk membayarnya juga sangat tinggi.


9. Sentiasa bertaubat walaupun TIDAK berbuat kesalahan

Pada kebiasaannya kita hanya bertaubat sekiranya kita berdosa, namun lupakah kita yang Nabi Muhammaf itu bertaubat setiap hari tidak kurang dari 100 kali. Dan ada juga pendapat mengatakan 70 kali. Bukankah baginda itu Nabi?? Yang dijanjikan syurga oleh Allah swt, namun masih lagi bertaubat dan kembali dengan penuh kesungguhan kepada Illahnya.

Taubat tidak hanya dengan solat taubat di malam hari. Boleh juga kita lakukan sedekah, selawat, dan memperbanyak amalan nawafil (sunat). Jadi, tidak ada alasan untuk kita malas bertaubat kepada Allah swt. Nauzubillah.


10. Tidak memberi kesaksian PALSU


11. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah

Ibadurrahman sentiasa sibuk dengan taqarrub Ilallah, maka mereka tidak ada masa untuk melakukan perbuatan - perbuatan yang tidak mendatangkan faedah kepada iman dan takwa. Sekiranya kita tahu perkara itu tidak baik atau tidak mendatangkan maslahat kepada diri, maka seeloknya ditinggalkan sahaja. Sebab itu dalam ciri - ciri mukmin cemerlang ada digariskan tentang meninggalkan perbuatan yang tiada manfaat kepada iman dan takwa seseorang.

"Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman. Iaitu yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna." Al Mukminun ayat 1-3


12. Sangat PEKA/AWARE dengan ayat - ayat Allah

Sudah namanya Ibadurrahman, pastilah mereka ini sentiasa ambil cakna akan perintah Allah dan RasulNya melalui Al Quran dan Sunnah. Setiap apa yang mereka dengar tentang ayat - ayat Allah, akn cuba dibumikan setiapnya ke dalam kehidupan seharian mereka. "Kami dengar dan Kami Patuh".


13. Berdoa agar mendapat isteri dan anak yang soleh serta menjadi PEMIMPIN orang - orang yang bertakwa

Ibadurrahman berkehendak akan kebaikan itu bukan untuk dirinya sahaja, bahkan mahukan yang sama untuk orang lain juga. Mereka berharap kepada Allah agar suatu hari nanti, mereka mampu untuk menjadi amir kepada umat Islam yang bertakwa kepada Allah.

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlaah kepada kami pasangan dan cahaya mata yang menjadi penyejuk hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang - orang yang bertakwa." Al Furqan ayat 74


***** Penutup *****

Maaf di atas kekasaran dan kekhilafan sepanjang menulis entri ini. Sesungguhnya, saya sendiri sedang berusaha segigih mungkin untuk mencapa title Ibadurrahman. Untuk kita mencapai matlamat dan karekter di atas, kunci pentingnya ialah KESABARAN. Tekadkan diri dan pasang niat untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Semoga Allah redha dengan apa yang kita perbuat. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment