Wednesday, 10 July 2013

KILAU : Kefahaman Fikrah Islam Kita (Part 2)

Assalamualaikum wbt

Sesuatu amalan atau kepercayaan itu datang apabila kita mempunyai kefahaman dan gesaan untuk melakukannya. Sesungguhnya, sepanjang program KILAU dijalankan, saya tidak diasuh dengan hafalan dan taqlid buta semata. Sebaliknya, para penyampai mempunyai objektif untuk melakukan yang terbaik agar para du'at faham akan bahan penyampaiannya. Jika mereka menyuruh membaca Mathurat, maka isi - isi Mathurat itu dibongkar sedikit demi sedikit agar sampai kepada kami tujuan pembacaannya.

Sesungguhnya, kefahaman itu datang daripada Allah dan kita sebagai hambaNya hanya mampu berusaha dan memohon hidayah Taufik daripada pemilik segala ilmu ini. InshaAllah.

Dalam entri kali ini, akan saya cerakinkan input yang saya peroleh sepanjang program KILAU kepada beberapa pokok perbincangan agar tidak terlalu membebankan pemikiran kita. Eheh, belajar tentang Allah dan RasulNya membebankan?? Rasanya itu tidak mungkin terjadi. Kan??


***** Fikrah Islam Kita *****

Sebelum kita membincangkan persoalan fikrah Islamiah, molek sekiranya kita tanya diri kita terlebih dahulu apakah itu FIKRAH?? Secara skemanya, ramai yang akan menjawab fikrah adalah pola pemikiran atau cara berfikir. Pada dasarnya tidak salah sama sekali, namun ayuh kita jawab dalam konteks yang lebih praktikal dan di bumi. Huhu.

Pada hemat saya melalui bahan perbincangan Fikrah Islam Kita, fikrah ialah sesuatu ilmu yang disimpan bukan sahaja di dalam minda tetapi juga di dalam hati. Melalui hati itulah, fikrah akan membuahkan amal soleh dan takwa. Sekiranya ilmu itu hanya melekat di dalam minda kita semata - mata, maka pengimplementasiannya agak sukar diramal. Sebagai contoh, betapa ramai dalam kalangan kita yang telah mengetahui bahawa Islam mengharamkan rokok dek kerana mudharatnya melebihi manfaatnya. Meski ramai yang mengetahuinya, namun masih ramai juga yang menghisapnya.

Kerana apakah itu berlaku?? Perkara itu berlaku adalah kerana mereka memahaminya dengan minda/otak dan tidak dengan hati. Perlakuan membuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu sebenarnya datang dari hati kita. Kalau kita SUKA dan CINTA pada sesuatu, pasti kita akan cuba sedaya upaya kita untuk melakukannya.

Fikrah ini boleh dianalogikan sebagai air mineral, manakala ilmu pula boleh diibaratkan seperti Sodium Chloride. Sekiranya Sodium Chloride dimasukkan ke dalam cawan kosong, maka kita tidak dapat melihat sebarang reaksi berlaku. Namun, apabila Sodium Chloride itu dicampur dengan air mineral atau air kosong, maka dapat kita lihat reaksi Sodium Chloride itu berpusing dengan pantasnya (vigorously). Ilmu tanpa fikrah Islam, maka tiada sebarang tindakan.

Ilmu + Fikrah = Tindakan/Amal
Dalam skop perbincangan ini juga perlu difahami bahawa Fikrah Islam itu bersifat lengkap dan syumul, tidak boleh dikurangkan atau ditambah sesedap rasa kita, perlu diambil sepenuhnya tanpa mengurangkannya. Salah satu perkara menarik yang saya peroleh ialah kita adalah pengikut Addeen dan bukan Pencipta Addeen. Oleh itu, kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam perlu bersesuaian dengan kita. Uhuk2. Sentap?? Jangan risau, memang itulah tujuan perbincangan ini dikarang.

"Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah - langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu." Al Baqarah 208

Islam itu mencakupi kesemua aspek kehidupan manusia tidak kiralah dari sudut ibadahnya, muamalatnya, munakahatnya, atau jinayatnya. Kesemuanya telah dirangkumkan oleh si Dia yang Maha Mengetahui setiap derap langkah kita, setiap detak jantung kita. Siapa lagi kalau bukan Pemilik jiwa ini iaitu Allah swt. Dalam ayat Quran di atas, Islam itu perlu diambil secara penuh dan bukan juz'i (pilih - pilih).

Contohnya, menganjurkan Konsert Amal untuk tujuan mengutip derma untuk anak - anak yatim. Dan di dalam konsert itu disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan dan mungkin penyanyinya tidak menutup aurat. Bukankah tujuannya baik?? Tapi jangan kita lupa, niat TIDAK menghalalkan cara. Ayuh kita bergerak untuk mencapai kesedaran Islam dan bukan ilmu Islam semata - mata. Kerana orang yang ada kesedaran Islam, lebih cakna dan sensitif terhadap apa jua perkara yang bercanggah dengan Islam.

Cadangan saya, adalah lebih baik kita penuhi masa senggang  kita dengan membaca bahan - bahan fikrah seperti Fiqh Sirah, Iman dan Kehidupan, Manhaj Hidup Muslim, dan yang sewaktu dengannya.

Kita juga perlu faham bahawa fikrah Islam itu bukannya perkara yang kita boleh ungkapkan sahaja, namun ianya patut menjadi sebahagian daripada darah daging kita. Ibarat jigsaw puzzle yang bertaburan, meletakkannya dalam perspektif yang sepatutnya itulah proses pembinaan fikrah Islam kita, manakala puzzles itu pula ialah ilmu yang kita miliki dan perolehi.


***** Penutup *****

Tamadun Turki Uthmaniyah itu tidak terbina dalam masa sehari, namun untuk meranapkan ketamadunan  yang telah dibina dengan jerih payah darah mujahid adalah amat mudah. Begitu jugalah dengan pembentukan fikrah Islam kita, sangat sukar untuk dibina dan diasaskan, namun dengan mudahnya mampu dilunturkan. Oleh itu, semaikanlah fikrah kita itu dengan ilmu yang mantap, dan bajailah ilmu itu dengan bergaul dengan insan - insan yang soleh. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment