Monday, 22 July 2013

Mama: Dari Manakah Kekuatanmu Itu??

Assalamualaikum wbt

Entri kali ini sedikit berbeza dari yang sebelum - sebelumnya kerana entri kali ini adalah suatu dedikasi rasa cinta dan mahabbah dari seorang anak untuk ibunya yang terlalu disayanginya. Memandangkan tidak lama lagi saya dan sahabat - sahabat akan menyambung pelajaran ke luar negara, elok rasanya entri ini dinukilkan sebagai suatu tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan ibu tercinta. Uniknya, tema entri ini bukanlah semata - mata pengorbanan dan kesungguhan, tetapi jauh dari semua ini, bagaimanakah unggulnya personaliti beliau membesarkan saya dan abang tanpa kehadiran suami di sisi.



Mama, itulah panggilan saya untuknya. Hari demi hari tanpa pernah jemu, mama memberikan saya sinar harapan untuk meneruskan kehidupan ini walaupun jalannya penuh mehna dan ujian. Bukan niat saya mahu mendedahkan hal - hal yang bersifat peribadi atau membuka pekung di dada, namun saya percaya bahawa ada kalanya "some stories need to be told because they could inspire others." InshaAllah, sekiranya kita pandai menjaga dan mengambil hati insan ini, nescaya bahagialah penghidupan dunia akhirat kita.

Oppss.. Walau bagaimanapun, entri ini menceritakan cebisan - cebisan kisah kami dan ditulis semula dalam bentuk yang separa profesional dan bukan untuk bersedih - sedihan. Sebaliknya, kembalilah kepada dasarnya iaitu sebagai suatu wahana penghargaan bagi insan hebat ini. InshaAllah.


***** Perjalanan panjang menempuh kepayahan *****


Mama bukanlah insan biasa yang mudah melatah dan merungut akan nasib dirinya. Selepas bersalin anak sulungnya yang diberi nama Muhammad Firdaus bin Abdul Karim, terlalu banyak kesukaran yang mama hadapi dengan penuh tabah dan redha. Bayangkanlah, 5 kali keguguran bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh seorang ibu muda, namun itu bukanlah alasan untuk mama jauh dari rahmat Tuhannya.

Alhamdulillah, setelah bersusah payah keluar masuk ke hospital, membuat check - up hampir setiap hari, ditambah doa dan ikhtiar kepada Allah, dan diadun dengan pengharapan yang tidak pernah kenal erti putus asa, maka lahirlah diri ini dengan nama Muhammad Fazuan bin Abdul Karim. Hospital Taiping itu menjadi saksi bagaimana jerih payah mama dalam melahirkan saya ke muka bumi ini. Sungguh, tidak tergambar betapa sakitnya kepayahan yang ditanggung mama, namun tiada pernah kedengaran rungutan keluar dari mulut insan hebat ini.

Saya selalu berkata kepada diri ini, kenapa mama seteguh dan sekuat ini?? Kesakitan melahirkan anak itu sudah begitu menyakitkan, ditambah pula penderitaan semasa keguguran, tetapi mengapa beliau masih begitu kuat dan tabah. Sekiranya perkara di atas berlaku kepada diri kerdil ini, rasanya tidak mampu untuk ditanggung keperitannya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." Luqman ayat 14


***** Titik - titik hitam mulai sirna *****


Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perkahwinan mama dan abah hanya mampu bertahan selama 14 tahun sahaja. Perkahwinan yang dirancang keluarga ini nyata tidak bertahan lama. Akhirnya, pada usia mama 37 tahun, akhirnya mama kini keseorangan bergelar ibu tunggal dan fokus utamanya adalah untuk membesarkan anak - anak kesayangannya tanpa sekelumit belas mahupun pertolongan terus dari si suami.

Ketika keretakan keluarga kami berlaku, mama selalu mengingatkan kami betapa anak - anak merupakan kekuatan dan keteguhan jiwanya. Segala apa yang mama lakukan adalah sebagai suatu manifestasi cintanya untuk melihat anak - anaknya berjaya di dunia dan di akhirat. Suatu perkara yang saya sendiri tidak pernah lupa ialah kata - katanya yang sungguh diingati sehingga bila - bila walau ke mana saja saya pergi. Mama pernah dan selalu berkata,

"Abang dan adik adalah segala - galanya untuk mama. Bagi mama, mama rela kehilangan kesemua yang mama miliki, tapi mama tak sanggup kehilangan anak - anak mama yang sangat mama sayang. Abang dan adik adalah permata hati mama yang sangat bernilai, dan tidak ada benda di dunia ini yang lebih bernilai. Walau terpaksa kehilangan suami, mama masih boleh bertahan, tetapi mama tidak boleh bertahan tanpa anak - anak kesayangan mama ini."

Kata - kata itu masih terngiang - ngiang di telinga ini setiap masa dan keadaan. Mama terlalu menyayangi kami berdua dan begitu juga kami sayang dan cinta kepada mama. Saya juga sanggup mengetepikan segala kepentingan diri demi membuatkan mama bahagia dan sentiasa tersenyum. Melihatkan betapa komitednya mama dalam membesarkan kami berdua, sungguh kami tidak sanggup untuk melukakan hatinya dengan menambah kelukaan di hatinya.

Dalam keadaan yang amat genting itu, mama sempat bertanya kepada saya dan abang sama ada kami rela dengan perpisahan ini. Lihatlah betapa baiknya hati si ibu, walau kepayahan ditanggungnya namun sama untuk mengabaikan perasaan kami tidak mungkin terjadi. Setelah kami memberi persetujuan berkenaan perpisahan ini, barulah mama mengambil keputusan untuk berpisah dengan abah setelah membuat timbang tara yang rasional. Mengambil kira kesemua faktor.


***** Cemuhan dan kutukan *****


Setelah berpisah dengan abah, mama menerima pelbagai kritikan - kritikan hangat yang sangat mendidih dan menghangatkan hati. Ada yang menggelar, mencemuh, mengutuk, dan mengumpat mama sesedap hati mereka. Tanpa mengetahui apa dan kenapa, mereka semberononya menyelar mama dengan tuduhan yang pelbagai. Benarlah menjadi seorang ibu tunggal ini penuh cabaran dan kesukaran. Namun, saya menjadi semakin pelik. Mama bukannya semakin lemah atau menyerah, bahkan semangatnya lebih berkobar - kobar untuk membesarkan anak - anaknya.

Anak - anaknya diberi pendidikan duniawi dan ukhrawi, didedahkan dengan pelbagai stimulus untuk berfikir, diterapkan dengan nilai - nilai Islami, dan disayangi tanpa sebarang alasan atau sebab. Dari kecil, mama tidak pernah memaksa kami untuk berbuat sesuatu tanpa dia terlebih dahulu menjadi qudwahnya. Sehingga kini, mama menjadi role model yang terbaik yang sentiasa menjadi ikutan kami adik beradik. Contohnya dalam hal solat, mama sering membawa kami bersamanya untuk ke tikar solat agar apa yang kami lihat menjadi ikutan di masa akan datang.

Suatu hal lagi tentang mama ialah mama tidak pernah menggunakan rotan sebagai suatu alat untuk "menjinakkan" kenakalan anak - anaknya. Saya akui, antara saya dan arwah abang, sayalah yang paling banyak kenakalannya sehingga kalau dihitung nilainya, takut sungguh. Fuhh. Tetapi mama tetap sabar dan tabah dalam melentur rebung - rebung yang membesar di hadapan matanya ini. Paling tidak, sekali dalam hidup saya pernah dirotan oleh mama kerana gagal dalam subjek Matematik di tahun 3. Itu pun hanya sekali untuk tujuan mendidik. Selepas itu, memang sentiasa maju ke depanlah keputusan peperiksaan saya.


***** Perpisahan dan keterasingan *****


Bermulalah episod baru kehidupan apabila saya dihantar oleh mama ke MRSM Gerik ketika di tingkatan 1. Sesuatu yang sangat sukar untuk saya fahami mengapa dan kenapa alasan saya dihantar ke situ. Pelbagai tanggapan dan andaian dibuat. Adakah mama tak sayang saya?? Adakah kerana kenakalan saya selama ini, saya dihantar mama ke sini?? Atau apa sebenarnya???

Sungguh pun begitu, mama sangat pandai memujuk hati ini. Mama akan datang hampir setiap minggu bersama makanan dan nasihat - nasihat membina demi memastikan anaknya yang seorang ini terus menempa kejayaan. Alhamdulillah, benarlah seperti mana yang sering didengar, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sekiranya mama tidak memaksa saya untuk ke MRSM Gerik dulu, pasti saya bukanlah siapa saya pada hari ini. Sekiranya mama tidak membawa saya ke MRSM Gerik itu, pastilah saya kini dah menjadi yang bukan - bukan dek kerana bergaul dengan orang - orang yang pelik.

Hari demi hari diteruskan di bumi Gerik itu, sehinggalah suatu hari saya dikejutkan dengan berita kemalangan abang tercinta. Abang dikejarkan ke hospital dan dirawat di ICU kerana mempunyai pendarahan yang teruk di bahagian kepala. Sungguh pada waktu ini, iman kami diuji oleh Allah swt. Tiada keperitan yang benar - benar menggores daripada melihat saudara saya satu - satunya kini terlantar tanpa suara sebarang pergerakan. MashaAllah.

Selang 6 hari selepas itu, kami diberitakan yang abang telah pergi menghadap Ilahi selamanya. Kehilangan yang paling berat yang pernah saya alami sepanjang hidup saya ini. Berita itu disampaikan oleh kaunselor MRSM Gerik dan saya terus dihantar pulang oleh kenderaan maktab. Tatkala jenazah abang sampai di rumah, saya melihat raut wajah mama tetap tenang, sepertinya mama telah redha dengan pemergian anak sulungnya yang terlalu dicintai dan disayangi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar, dari proses memandikan jenazah hinggalah ke persemadian jasad abang.

Selepas itu, hari demi hari terasa sungguh sunyi dan tidak bermaya. Namun, kedua - dua saya dan mama tidak pernah mengeluh akan takdir Allah ini dan menerima semua itu seadanya. Kami sentiasa bermohon agar diberi kekuatan untuk menerima segala ujian dan mengharapkan agar Allah mengampunkan segala kekhilafan kami selama ini. Segala onak duri dan cabaran diharungi kami berdua dengan apa adanya, dan kami bertekad untuk meneruskan kehidupan sesuai yang diinginkan oleh arwah abang.


***** Personaliti mama *****


Mama bukanlah sebarangan ibu yang suka melakukan apa yang diinginnya sesuka hati. Setiap apa yang dibuat difikirkan baik buruknya terlebih dahulu. Tidak pernah ada yang mama lakukan tanpa sebarang alasan yang kukuh dan rasional. Pasti setiap pelan atau ideanya disandarkan kepada sesuatu yang baik dan mendatangkan maslahat kepada semua dalam erti kata membina jiwa individu tersebut. Itulah mama yang saya kenali sepanjang 19 tahun kehidupan ini. Mungkin kerana itu jugalah saya terpengaruh untuk mengambil psikologi sebagai major mengenangkan betapa setiap kata - kata mama sarat nasihat dan pedoman.

Selain itu, saya cukup tabik dengan kesabaran dan ketabahan hati mama. Seboleh mungkin, perkelahian dan perseteruan cuba untuk dielakkan dengan cara apa sekali pun. Mama lebih suka mengambil tindakan berdiam diri sekiranya dihidangkan dengan hal - hal yang tidak disukainya atau argumen yang tidak sepadan dengan ideologinya untuk mengelakkan pergaduhan. Bersangka baik dan membalas keburukan dengan kebaikan sudah menjadi sikap mama daripada zaman mudanya lagi. Hal ini diperakui sendiri oleh teman - teman sekolah atau pejabatnya. Alhamdulillah, Allah memberikan saya seorang ibu yang mulia peribadinya.


***** Dedikasi akhir untuk mama *****


Perpisahan adalah sesuatu yang biasa bagi sesiapa pun. Setiap pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan, sama ada yang sementara ataupun yang kekal. Sesungguhnya mama, adik menjadi saksi di atas segala kebaikan dan kemuliaan hati mama sepanjang membesarkan adik. Bukannya sesuatu yang mudah untuk membesarkan anak - anak tanpa kehadiran seorang suami di sisi. Tapi, mama telah melakukannya bukan hanya dengan sambil lewa, bahkan dengan kecemerlangan yang sangat hebat dan memberangsangkan. Allahuakhbar.

Maafkanlah segala kesalahan dan kekhilafan selama 19 tahun adik membesar di dalam bimbingan mama. Maafkanlah juga sekiranya ada tindakan atau perlakuan yang dibuat tidak seperti yang mama bayangkan, tetapi percayalah semua yang adik buat adalah sebagai suatu bentuk tanda kasih dan cintanya adik untuk mama. Teruskanlah mendidik anakmu ini, kerana sesungguhnya anakmu ini sentiasa dahagakan bimbingan dan pedoman yang diberi olehmu.

Mama, sesungguhnya setiap kejayaan adik adalah kejayaan mama juga. Setiap kali adik menerima sesuatu pengiktirafan atau penghargaan, sebahagian besarnya milik mama. Adik sentiasa berharap agar Allah akan memberikan kita kekuatan untuk terus thabat dalam jalan yang lurus ini dan adik mohon, teruskanlah untuk menasihati adik dan membimbing adik sehinggalah bila - bila pun.

Ya Allah, Engkau berkatilah usia mamaku. Engkau rezekikanlah kepada mamaku rahmat dan maghfirahMu sepanjang usianya dan hidupkanlah dia dengan kebaikan dan ketaatan kepadaMu. Ya Rahman, Engkau kasihilah mamaku dengan memenuhi segala impiannya, terutamanya untuk menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji dan umrah. Engkau sampaikanlah hajatnya untuk melihat aku berjaya menjadi anak yang hebat dunia dan akhirat. Ya Rahim, sempatkanlah aku untuk berbakti kepadanya dan janganlah Engkau ambil nyawa dia atau aku sebelum sempat aku berbakti dan mencurahkan segala kebajikanku untuknya. Allahumma amiin.


p/s: Jika diturut rasa hati, tangan ini sepertinya tidak mahu berhenti - henti menulis kerana sesungguhnya kebaikan mama tidak hanya seperti yang di atas, bahkan lebih banyak. Namun dek kerana keterbatasan waktu dan kemampuan, maka sampai di sini terlebih dahulu. Adik sayang mama selamanya hingga ke syurga. Wallahualam.



No comments:

Post a Comment