"Wei, esok 17 Ramadhan dah kan?? Ada apa ek esok??"
"Owhh esok cuti.. Kakitangan kerajaan cuti, sekolah cuti. Boleh lah lepak - lepak and borong sakan kat bazar. Huahuahua"
Tersembur air dari mulut laju - laju. Kepala berpinar - pinar dengar jawapan bernas itu.
Assalamualaikum wbt.
Apa signifikannya esok?? Ya betul esok ialah 17 Ramadhan bermakna esok adalah hari Nuzul Al Quran. Hari yang mana wahyu Allah digunapakai sebagai panduan hidup umat manusia. Hari yang mana bermulalah era kegemilangan dan kemilauan sinar Islami penduduk Makkah dan bangsa Arab. Hari yang mana turunnya Al Quran yang umat Islam dan kita baca pada hari ini. Ehem, kalau bacalah ya.
Tapi yang agak sadis dan mencalar - calarkan hati ialah umat Islam hari ini semakin tidak cakna akan hari bersejarah ini. Hari Nuzul Al Quran tidak lebih dari hanya sebuah lipatan sejarah yang diceritakan dari satu generasi ke generasi berikutnya tanpa penghayatan yang mantap. Kisah itu hanya sekadar suatu halwa telinga yang jika ditanya adakah kita tahu tentangnya, dengan bangganya kita akan menjawab, "dari zaman aku sekolah rendah lagi lah aku dah tahu pasal cerita ni."
Persoalan yang menyusul ialah mana ibrahnya?? Mana pengaplikasiannya?? Mana amalnya?? Allah doesn't want us to only know, but He wants IMPLEMENTATION!!
Adakah kita hanya mendengar. Jika sekiranya kita hanya dengar dan tahu, nyatakan sekarang apa bezanya kita dan kaum Yahudi serta kaum - kaum terdahulu yang Allah laknat kehidupan mereka?? Bukan mereka tidak tahu akan hal yang haq, tetapi mereka tidak mahu menuruti dan mengikutinya. Dan lihatlah bagaimana Allah mengazab mereka dengan azab yang pedih. Nauzubillah.
Baiklah, berbalik kepada topik asal perbincangan tanpa emosi yang membuak - buak. Hehehe.
Banyak berlaku perselisihan dan khilaf antara ulama' dalam hal penurunan Al Quran ini. Dalam kesempatan ini, saya akan berkongsi pandangan yang saya ikuti daripada Professor Madya Dr Ab Rauf, seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kita boleh lihat billboard dan tanda - tanda bilakah turunnya Al Quran daripada beberapa ayat Al Quran itu sendiri.
"Bahkan (yang mereka dustakan itu) ialah Al Quran yang mulia. Yang tersimpan (terpelihara) dalam tempat yang terjaga iaitu Lauh Mahfuz" Al Buruj ayat 21-22
"(Beberapa hari yang ditentukan itu) ialah bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan - penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara haq dan batil)." Al Baqarah ayat 185
"Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al Quran pada malan yang diberkati. Sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan." Ad Dukhan ayat 3
Daripada ketiga - tiga ayat di atas, dapatlah dibuat beberapa kesimpulan yang nyata. Pertamanya Al Quran telah diturunkan dalam bulan Ramadhan yang mulia, yang mana siang dan malamnya sarat dengan keberkatan daripadaNya. Keduanya, Al Quran ini datangnya daripada Allah dan tersedia dijaga rapi di tempat yang namanya Lauh Mahfuz, yang kemudiannya diturunkan ke Baitul Izzah (langit dunia) juga secara keseluruhan, sebelum diutuskan kepada Nabi Muhammad saw secara berperingkat - peringkat mengikut peristiwa selama 23 tahun.
Mengikut sirah, setiap tahun dalam bulan Ramadhan ini juga, Nabi Muhammad saw akan mengulang kaji bacaan baginda bersama dengan malaikat Jibril as untuk memastikan kesasihan wahyu Allah itu. Nabi Muhammad saw juga sering bertadarus bersama dengan Jibril sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita pula bagaimana ya?? Sudah juzuk berapakah??
Jadi apakah resolusi yang mampu kita jalankan?? Untuk menjawab soalan ini, saya hadiahkan sepotong ayat Al Quran untuk anda:
"..... dan bacalah Al Quran itu dengan tartil." Al Muzammil ayat 4
Jawapannya mudah sahaja, iaitu kita cuba sedaya upaya kita untuk membaca Al Quran dengan penuh hati - hati dan perlahan - lahan. Jangan gopoh, tidak ada benda yang nak mengejar atau pun dikejar, kecualilah untuk lari sebab nak buka puasa. Hoho.
Menurut pandangan Saidina Ali, TARTIL ialah keadaan di mana kita menjaga dan memelihara hak - hak ayat Al Quran. Dengan erti kata lain, membaca Quran dengan bertajwid dan tahu akan waqaf ibtida' (tempat berhenti yang sepatutnya). Ada juga sebahagian ulama' yang menambah keperluan fasahah dan suara bagi melengkapkan ketartilan pembacaan.
Oleh itu, disarankan kepada kita yang tidak berapa mahir akan seni bacaa Al Quran untuk membeli mushaf atau download apps yang mempunyai HUKUM TAJWID di dalamnya supaya mudah dibuat rujukan. Yang penting, gunakanlah setiap masa yang ada terutamanya dalam bulan Ramadhan ini untuk memperbanyak, memperbaiki, memperelok bacaan Al Quran kita. Biarpun permulaannya gagap dan lampick (lambat pick up), tapi dengan usaha yang jitu akan melajukan kita dalam redhaNya inshaAllah.
Sesungguhnya Allah melihat usaha, bukan hasil. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment