Sekadar suatu perkongisan tentang pengalaman yang diperoleh di Kem Bina Negara Meru, Klang. Kem yang mengambil tempat selama 5 hari 4 malam bagiku sesuatu pengalaman yang amat bermakna dan signifikan.
Beberapa kandungan Program Transformasi Mahasiswa ke Luar Negara:
- Memahami konsep Gagasan 1 Malaysia dan pengimplementasiannya dalam sistem pemerintahan YBhg Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak. Mementingkan perpaduan dan pencapaian negara yang seharusnya berjalan seiring dan sekata.
- Mengetahui beberapa konteks dalam PERLEMBAGAAN Persekutuan yang dibincangkan secara tuntas di dalam kumpulan kecil. Aku mulai faham erti Perkara 153, Perkara 152, Perkara 3, Perkara 160 (2) dan Perkara 43. Semuanya dirangkumkan dalam tempoh 5 hari. Syukur kepada Allah kerana kefahamanku dalam perlembagaan negara makin bertambah.
- Mempraktikkan budaya - budaya positif yang sepatutnya dibawa ke luar negara. Hal ini kerana, semua pelajar Malaysia yang dihantar ke luar negara dianggap menjadi duta kecil yang akan mempromosikan negara ini di mata dunia. Baik pekertinya, maka baik jugalah persepsi warga dunia kepada negara kita.
Perkara yang perlu diperbaiki oleh bakal mahasiswa luar negara:
- Ketepatan masa - mematuhi masa di luar negara adalah sesuatu yang amat penting dan bermakna. Tidak ada yang akan menunggu kita, sebaliknya kitalah yang perlu menunggu masa agar tidak tertinggal di belakang
- Menjaga tatatusila - di negara orang, cabarannya banyak. Andai kata tidak menjaga adab dan kelakuan, ditakuti boleh mencemarkan nama baik diri, keluarga, negara, bangsa, dan agama. Oleh itu, semua pihak haruslah berusaha untuk menjadi yang lebih baik.
- Menghormati orang lain - hal ini merangkumi guru, tenaga kerja, pelajar, dan masyarakat sekeliling. Jangan sombong dan jangan kurang ajar, kerana apa yang kita bagi akan berbalik kepada kita juga di akhir nanti.
- Patriotisme - kemerdekaan negara hanya akan mampu dipertahankan sekiranya kita semua bersatu dan menyayangi tuntutan negara sepenuh jiwa dan raga. Walau apa pun yang berlaku, kita sewajibnya menjadi TONGGAK UTAMA yang bangkit untuk membela negara. Kegagalan kita menggarap nilai patriotisme ini dirisaukan mampu menjejaskan kestabilan negara yang akhirnya memanifestasikan kelompongan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
- Kebijaksanaan - bijak di sini bukanlah semata - mata dalam peperiksaaan semata - mata. Semua graduan haruslah mencerna segala wacana agar dapat dipraktIkkan untuk negara tercinta. Sebagai contoh, seorang pelajar jurusan kejuruteraan bukan sekadar hebat akademiknya, bahkan mapu untuk mencipta teknologi yang bermanfaat untuk negara tercinta.
Ini sahajalah perkongsian buat masa ini. Sekian, maaf tajuk agak membosankan..... Salam...
No comments:
Post a Comment