Wednesday, 19 September 2012

Kuatkah Aku????

Saatnya kian hampir, detik waktu mulai kurasakan begitu rapat... Semuanya hanya menunggu masanya untuk dilancarkan. Segala yang sepatutnya ada untuk dipersiapkan telah pun aku sempurnakan. Tetapi persoalan yang bermain dalam mindaku adakah aku benar - benar bersedia?

 Penentu kepada turun naiknya markahku bergantung pada keputusan yang akan dilakukan pada hari esok. Sekiranya aku pandai dalam memanipulasi soalan, maka keputusannya pasti memberangsangkan. Ya, aku yakin dengan prinsip itu.

Cuma, ada sesuatu yang bermain dalam fikiranku sekarang. Seolah - olah ada lagi masalah atau perseteruan yang masih belum bertemu jawapannya, dan itu sangat menakutkan aku.

Sepanjang hidupku, aku seorang yang sangat berpegang kepada prinsip hidupku dan jarang benar untukku berubah pandangan mahupun bertukar persepsi. Tapi, malam ini aku seakan - akan diasak dengan pelbagai kekeliruan. Aku masih samar akan hala tuju hidupku sendiri. Kalau dalam konteks memberi semangat dan mengobarkan api perjuangan orang lain, bukanlah suatu hal yang sukar untukku. Cuma sayang, kenapa bila tiba saat aku sendiri yang merasainya, sukar untuk aku jawab.

Mungkinkah kerana aku ini terlalu sibuk?? Atau mungkinkah kerana aku ini terlalu banyak menyibukkan diri dengan hal yang tidak sepatutnya?? Entahlah, aku sendiri tidak menemui jawapannya.

Esok adalah Mock Test SAT yang kedua untuk kami, pelajar - pelajar di bawah tajaan MARA. Mereka berharap dengan adanya ujian 'olok - olok' ini mampu untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri kami sebagai pelajar yang ditaja.

Cuma, sekali lagi aku memang sangat tidak bersetuju dengan keadaan ini. Aku menjadi terlalu risau dan cemas mengenangkan hal ini. Ramai dalam kalangan kawan - kawanku yang tidak banyak belajar, tetapi merekalah yang menjadi pelopor markah tertinggi dalam ujian yang lepas. Maka, di manakah harus letakkan kayu ukur untuk diriku sendiri?? Adakah aku ini pelajar yang selayaknya berdiri dan duduk sebaris dengan mereka?? Malu sebenarnya hati ini mengenangkan hal ini.

Sungguhpun demikian, aku sentiasa cuba untuk optimis dan bersangka baik dengan Allah. Sekiranya kita telah berusaha dengan sebaiknya dan bertawakal kepadaNya, mana mungkin Allah kejam untuk membiarkan kita dalam kegagalan. Mustahil sekali untuk Allah perlakukan kita seperti itu.

Oleh sebab itulah, bagi sesiapa yang sedang dirundung duka, ayuhlah kita angkat kembali martabat kita. Ayuhlah kita bangkitkan semula semangat yang semakin malap itu. Ayuhlah kita kenang kembali betapa Allah itu sentiasa melimpahkan kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Sebab itu, jangan lagi rasa rendah diri yang melampau, jangan rasa takut untuk mencuba, dan jangan pernah menyalahkan takdir atas apa yang telah terjadi kepada diri kita.

Akhir kata buat tinta kali ini, manusia itu Allah ciptakan dengan variasi cara dan perspektif yang berbeza. Jangan kita bandingkan diri kita dengan orang lain dalam hal - hal dunia, sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang kita punya selama ini. Lebih banyak kita bersyukur, lebih banyaklah nikmat Allah yang akan kita rasai..

No comments:

Post a Comment